NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penzahiran ujian poligraf dalam saman bekas pembantu Anwar ditolak

Yusoff Rawther (kiri) kemuka saman terhadap Anwar Ibrahim atas dakwaan serangan seksual yang didakwa berlaku di kediaman presiden PKR itu di Segambut.


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas pembantu penyelidik Anwar Ibrahim mendapatkan laporan ujian poligraf dijalankan polis susulan dakwaan diserang seksual lima tahun lalu.

Hakim Johan Lee berkata, laporan itu tidak perlu dan tidak membantu mencapai keputusan adil dalam saman sivil dikemuka Yusoff Rawther terhadap Anwar.

Lee berkata, beliau bersetuju dengan kerajaan bahawa amalan penggunaan laporan berkenaan, jika dibenarkan akan membuka ruang kepada orang awam menggunakan polis dalam kes saman sivil mereka.

“Ini tidak boleh dibiarkan berlaku,” katanya ketika menyampaikan penghakiman.

Lee berkata, ujian poligraf belum diterima dan tidak boleh dianggap dipercayai dalam kebanyakan, jika tidak semua, bidang kuasa.

“Justeru, jika mahkamah memerintahkan penemuan ini, ia hanya akan mewujudkan lebih banyak pertikaian dan ketidakpastian, bukan membantu mahkamah dalam penyelesaian perbicaraan adil,” katanya.

Lee juga bersetuju dengan pegawai penyiasat yang menjalankan ujian itu bahawa laporan ujian merupakan sebahagian daripada kertas siasatan, dengan itu dilindungi di bawah Seksyen 124 Akta Keterangan 1950.

Laporan poligraf berkenaan dikaitkan dengan Yusoff susulan dakwaan serangan seksual terhadapnya pada 2 Okt 2018, didakwa dilakukan Anwar.

Polis kemudian mengklasifikasikan perkara itu sebagai tiada tindakan lanjut.

September lalu, Yusoff memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan laporan ujian poligraf dibuat kepadanya oleh polis, pada 19 Dis 2019.

Dia menamakan polis sebagai defendan dalam permohonan penzahiran.

Peguam Kanan Persekutuan Al-Saifi Hashim mewakili kerajaan, manakala peguam Navpreet Singh mewakili Anwar dan Haniff Khatri Abdulla mewakili Yusoff.

Lee juga menganugerahkan kos RM5,000 kepada kerajaan.

Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021, mendakwa dia diserang seksual di kediaman presiden PKR itu di Segambut.

Susulan insiden itu, dia dituduh berkomplot menjatuhkan kerjaya politik Anwar. Yusoff juga berkata dakwaan dibuat menjejaskan kesihatan mentalnya.

Anwar menafikan dakwaan berkenaan dan mengemukakan saman balas.


Sumber | FMT Malaysia 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo