NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Jika Lim tahu punca, minta polis tahan pelaku’




KUALA LUMPUR
: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng daripada DAP diingatkan untuk tidak gopoh membuat kesimpulan terhadap kes ugutan bunuh yang diterima oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim, kelmarin.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari melontarkan peringatan itu sebagai reaksi kepada kenyataan Lim yang bersifat prejudis dan berunsur tuduhan terhadap pendirian-pendirian pernah ditegaskan PAS.

Ulasan Lim kepada Malaysiakini itu, susulan solidariti PAS dan gesaan siasatan segera terhadap ancaman diterima Teresa yang dikeluarkan menerusi kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, semalam.

Lim menghargai PAS yang menyatakan sokongan itu, namun ugutan itu disifatkannya sebagai bahaya politik toksik dan dikaitkannya dengan peranan dimainkan pemimpin PAS dalam menyemai kebencian terhadap DAP.

Perkara itu katanya, sehingga mengakibatkan minda yang mudah dipengaruhi menjadi radikal di mana DAP digambarkan dengan beberapa penyataan termasuk terbaharu daripada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut Lim pemimpin PAS dan yang lain mengeksploitasi dakwaan ‘tidak wajar dan tidak berasas’ itu untuk tujuan politik, namun tindakan itu boleh membawa kepada akibat yang teruk dan mengingatkan untuk tidak bermain api.

“Atas ucapan ‘Terima Kasih’ itu, kita (PAS) ucapkan sama-sama. Tapi janganlah tergopoh-gapah sangat buat kesimpulan. Jangan lupa kes khianat melibatkan MP Beruas (Datuk Ngeh Koo Ham) dulu, apa dia kata selepas kejadian apa pula hasil siasatan polis?

“Kalau benar orang ini (Lim) tahu punca kejadian, minta pihak polis tahan (pelaku) untuk siasatan. Ini saksi penting (berdasar penyataan tersebut), tapi bukanlah suspek. Yang penting, jangan terburu-buru.

“Kalau nak bincang soal timbulkan kebencian, bukankah parti tuan (DAP) pun sama timbulkan kebencian kepada PAS yang dilabel Taliban dan lain-lain. Kata orang kampung, ‘you reap what you sow’,” ujar Fadhli membalas Lim.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham telah mengaitkan PAS dan BERSATU dalam kejadian rumah beliau diserang dengan ‘molotov cocktail’ hingga menyebabkan kenderaannya terbakar, Januari lalu.

Serangan berlaku selepas kenyataan kontroversi beliau yang bersifat campur tangan atas urusan hal ehwal Islam itu bagaimanapun disahkan polis setelah itu bahawa pelaku bukan ahli kepada mana-mana parti politik.

Portal media itu turut melaporkan reaksi Teresa Kok percaya peluru diterimanya adalah berkaitan dengan tuduhan palsu berpunca daripada seorang pemimpin PAS yang menuduhnya sebagai anti-Islam dan masih tular di media sosial.

“Saya telah memberitahu polis bahawa kes saya ini mungkin ada kaitan dengan posting ini yang terus dikitar semula walaupun kandungannya didapati berunsur fitnah oleh Mahkamah Tinggi pada 2020,” katanya kepada media itu.

Bagaimanapun Kok sendiri seperti dalam laporan itu mendedahkan bahawa pihak polis memaklumkan kepadanya kemungkinan besar pelaku bertindak sendirian dan tidak mempunyai kaitkan dengan mana-mana kumpulan. – HARAKAHDAILY 21/5/2024


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo