NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Henti gadai aset strategik negara – Dr Radzi Jidin





BANGI: Kerajaan diminta menghentikan tindakan menggadai aset-aset strategik negara yang memiliki kepentingan besar kepada rakyat Malaysia, demikian peringat Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau mempersoalkan penjualan saham berkaitan Malaysian Airport Holdings Berhad (MAHB) yang dikatakan akan diswastakan atau dinyahsenaraikan sedangkan syarikat itu memiliki potensi serta kepakaran sangat baik.

Katanya, MAHB yang menguruskan 39 lapangan terbang di negara ini dan satu di Turkiye difahamkan telah melalui tempoh yang sukar semasa pandemik COVID-19 kerana tiada pelanggan di lapangan terbang dan tiada penerbangan dilakukan.

Tetapi menurut beliau, MAHB masih mencatat keuntungan melebihi RM543 juta untuk tahun kewangan 2023 dan baki tunai RM1.845 bilion dalam akaun syarikat serta kedudukan saham yang baik di Bursa Malaysia.

Perkara itu dinyatakan beliau dalam ceramahnya sempena Jelajah Selamatkan Malaysia ‘KKB Signal Rakyat’ anjuran Jabatan Penerangan PAS dan Harakah di Dewan D Mawaddah, di sini semalam.

Dr Radzi melahirkan rasa terkejut kerana dikatakan Khazanah Nasional Berhad yang memegang lebih 30 peratus dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula dengan pegangan tujuh peratus saham dalam MAHB tiba-tiba mahu menjualnya.

“Jadi saya nak tanya sikitlah kerajaan ini mengapa nak nyahsenaraikan MAHB ini? Biasanya syarikat ini ditarik keluar daripada pasaran saham, dinyahsenarai sebab dia tak nak cakap dekat publickalau ada perkembangan yang penting, sebab kalau syarikat itu tersenarai, dia tukar director ke dia buat apa perkara-perkara yang boleh memberi kesan kepada saham.

“Dia nak kena cakap pada orang awam. Nak kena buat public announcement. Tapi bila younyahsenarai, tarik keluar syarikat tersebut, tak payah nak dibuat senyap-senyap pun tak apa. Tak ada kepentingan untuk nak beritahu. Jadi saya nak tanya sedikitlah kerajaan, yang nak kacau MAHB elok-elok ini apasal?

“Bukan company rugi, company untung tahun lepas RM543 juta. Bukan company tak ada duit, company ada dalam akaun tunai, RM1.8 bilion. Habis itu nak kacau apa pasal? Kenapa nak tarik keluar dari pasaran?” persoal beliau menyifatkan perkara itu mengulangi isu ke atas 1MDB, FELDA, FELCRA dan beberapa lagi.

Ahli Parlimen Putrajaya itu menegaskan, dengan kepakaran dan pencapaian baik dimiliki, sepatutnya ia boleh dibawa keluar untuk memenuhi keperluan negara dengan mencari peluang dan ruang di negara-negara lain.

Dr Radzi turut mengimbas mengenai desakan Ahli-ahli Parlimen pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) semasa Sidang Dewan Rakyat supaya saham Bousted Plantation milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak dijual.

Sedangkan katanya, tanah dipunyai Bousted Plantation diberi kepada LTAT adalah milik para pesara tentera yang aset itu dibina selama berpuluh-puluh tahun hingga mampu mempunyai keluasan hingga beratus ekar.

“Jangan kerana management tak ada cara lain nak menguruskan syarikat, jual semua yang ada,” ujarnya menempelak sikap bermudah-mudah dalam menguruskan aset dan kepentingan negara seperti itu.

Beliau turut mempertikaikan banyak transaksi melibatkan kepentingan negara sedemikian disenyapkan atau tidak disebarkan kepada media dan awam di zaman pemerintahan kerajaan sekarang. – HARAKAHDAILY 18/5/2024





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo