NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hampir Mustahil PAS Kembali Bergabung Dengan DAP

Memang politik itu dinamik, malah zaman sekarang berubah dalam tempoh yang sangat singkat. Demikian juga rakan kerjasama dalam berpolitik, sepertimana yang selalu disebut, "di dalam politik tiada rakan untuk selamanya dan tiada lawan untuk selamanya". Bagaimanapun, dalam konteks politik Malaysia, gabungan antara PAS dan DAP hampir mustahil boleh berulang semula, biarpun betapa dinamiknya politik.

Politik di negara membangun khususnya di dunia Islam, memperlihatlan betapa dinamiknya jajaran kerjasama politik. Di Indonesia, hampir setiap kali PEMILU akan ada jajaran kerjasama baharu. Begitu juga di Turkeye, siapa sangka Racep Tayyip Erdogan boleh bertembung dengan rakannya dahulu, Abdullah Gul. Politik Malaysia juga tidak terkecuali, selepas PRU ke-14, jajaran kerjasama menjadi semakin dinamik.

Boleh jadi, di atas premis tersebut, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, meramalkan PAS akan bergabung semula dengan DAP seawal lima tahun akan datang untuk DAP kekal berkuasa. Pandangan beliau ini dilontarkan semasa berwacana dalam podcast Keluar Sekejap. Malah pandangan Dr Ka Siong disuarakan penuh yakin. Kata beliau lebih kurang begini: "Kita lihat nanti betul tak apa yang saya kata".

Bagaimanapun, Dr Ka Siong mungkin terlupa, PAS dan DAP adalah dua parti yang berteraskan ideologi. Tidak dapat dinafikan parti-parti berteraskan ideologi sudah semakin luntur pada masa kini, malah di Malaysia sendiri ada yang sudah berkubur. DAP sendiri yang dahulu mendukung Sosialisme, tidak lagi dilihat memperjuangkan Sosialisme, sebaliknya kadang-kadang dilihat lebih liberal. Apakah DAP telah berubah?

Hakikat sebenarnya, DAP tidak pernah berubah. Mereka tetap memperjuangkan Malaysian Malaysia dan menjadi parti yang paling tegar memperjuangkan Malaysia adalah sebuah Negara Sekular. DAP tidak pernah melupakan "Deklarasi Setapak", meskipun mereka disebut mempertahankan empat tonggak Perlembagaan Persekutuan bila sahaja bergabung dengan pihak lain. Sekarang UMNO pula termakan umpan itu.

PAS pula adalah parti yang paling kuat mempertahankan ideologi perjuangan. Lebih daripada itu, seperti yang pernah diungkapkan oleh Presiden PAS sebelum ini, Ustaz Fadzil Mohd Noor: "PAS tiada ideologi, tetapi yang ada ialah akidah perjuangan". Oleh sebab itu, Islam yang menjadi akidah perjuangan PAS tidak pernah luntur di hati ahli-ahli PAS, sebaliknya semakin diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Memang benar PAS dan DAP pernah bergabung sebelum ini atas asas "tahaluf siyasi". Sudah tiga kali PAS bergabung dengan DAP, sekali bergabung tidak langsung pada tahun 1990 dan dua kali bergabung secara langsung pada tahun 1999 dan tahun 2008. Ketiga-tiganya dibuat atas asas "setuju untuk tidak bersetuju", iaitu PAS terus dengan akidah perjuangannya dan DAP juga terus dengan idelogi perjuangannya. 

Ketiga-tiganya berakhir dengan kegagalan. Yang paling lama bertahan ialah semasa gabungan PR iaitu tujuh tahun antara tahun 2008 hingga 2015. Itupun, dalam tempoh tujuh tahun tersebut, penuh dengan pertembungan. PAS mahu melaksanakan Hudud di Kelantan, DAP menentangnya habis-habisan. DAP pula mahu melaksanakan Pilhanraya Kerajaan Tempatan, PAS menentang habis-habisan.

Banyak lagi insiden pertembungan antara PAS dan DAP semasa bergabung dalam PR. Pendek kata, apa yang disebut bahawa lebih banyak titik pertemuan berbanding titik pemisahan antara PAS dan DAP semasa dalam PR dahulu, adalah karut sama sekali. Hakikatnya, jurang pemisah antara PAS dan DAP terlalu besar, manakala jambatan yang menghubungkan jurang itu pula sangat rapuh. Hampir mustahil gabungan itu kembali terjalin.

Tidak keterlaluan untuk disimpulkan dalam konteks politik masa kini, meskipun banyak parti-parti politik yang ditubuhkan, pertembungan politik yang sebenar atau "clash of titans" adalah antara PAS dan DAP. Menyedari hakikat tersebut, gabungan kali keempat antara PAS dan DAP seperti yang diramalkan oleh Dr Ka Siong itu, hampir pasti tidak mungkin berlaku.

Sumber | Fb Dr Zuhdi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo