NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar tak kisah markah kebebasan media

Anwar Ibrahim berkata tindakan keras menentang ketaksuban kaum dan agama menyebabkan kedudukan Malaysia jatuh dalam laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 jatuh. (Gambar Bernama)


KUCHING: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan langkah menyelamatkan negara dan melindungi hak rakyat lebih penting berbanding memperoleh markah tinggi untuk mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Susulan itu, Anwar berkata beliau tidak kisah kedudukan Malaysia jatuh dalam laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang dikeluarkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) baru-baru ini kerana negara mengambil tindakan keras terhadap ketaksuban dalam isu perkauman dan agama.

“Saya tidak kisah, tak mengapa jika kedudukan negara kita diturunkan hanya kerana kita mengambil tindakan keras terhadap golongan yang fanatik dalam isu perkauman dan agama kerana bagi saya, untuk menyelamatkan negara ini dan melindungi hak rakyat majoriti serta minoriti adalah lebih penting daripada memperoleh markah yang tinggi bagi mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Jika anda membiarkan ketaksuban dalam isu perkauman atau fasisme atau agama membiak, maka anda perlu menjangkakan kemungkinan wujudnya ketidakharmonian agama,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024.

Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 menunjukkan kedudukan Malaysia jatuh 34 anak tangga kepada tempat ke-107 berbanding ke-73 tahun lepas dengan markah 52.07 mata.

Sebaliknya, Anwar berkata demokrasi bertenaga tidak boleh matang tanpa kebebasan media dan golongan diberikan kuasa untuk menguruskan ekonomi serta negara harus menerima hakikat ini.

Beliau berkata demokrasi melibatkan serta memerlukan media yang bebas, ruang, dan kebebasan mengeluarkan idea, pandangan serta maklumat.

“Kalau tidak ada kebebasan, tidak akan ada pencernaan karya-karya hebat dan agung baik dalam sastera, budaya atau politik. Semua itu tidak dapat dicernakan tanpa rasa bebas mengungkap dengan sebaiknya, tetapi apa batasannya?

“Batasannya adalah apabila kita menggunakan ruang untuk memecahbelahkan, menanam bibit permusuhan yang akan meruntuhkan sendi negara ini. Sebab itulah kita punyai tugas dan tekad politik untuk menyatakan batas yang diperlukan.

“Ia mungkin tidak disenangi oleh sesetengah pandangan terutama di Barat, sebab itu saya katakan dalam era pascanormal yang disebut ‘chaos, complex’ dan penuh dengan pertembungan itu menuntut kita juga memikir kaedah yang benar,” katanya.

Perdana menteri berkata, isu melibatkan 3R (agama, kaum, dan raja) bukan untuk menakutkan atau menggambarkan seolah-olah ia tidak boleh ‘disentuh’ langsung sebaliknya ia adalah untuk melindungi negara daripada perpecahan.



Sumber | FMT Malaysia 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo