NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Kuala Kubu Baru : Adun DAP Selangor jangka pengundi India mungkin beralih arah, jadi penentu kemenangan PRK

Sumber DAP berkata, masyarakat India di Kuala Kubu Baharu tidak gembira dengan apa yang dilihat sebagai kegagalan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: DAP perlu meraih sekurang-kurangnya 60% undi India untuk memenangi PRK Kuala Kubu Baharu pada bulan depan, menurut sumber parti.

Seorang Adun DAP Selangor yang enggan dinamakan berkata, pengundi India mungkin menjadi penentu bagi mana-mana calon.

“Kita perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 60% undi India untuk mempertahankan kerusi itu. Mereka akan menjadi penentu kerusi ini, walaupun hanya mewakili 18% daripada pengundi kawasan berkenaan.

“DAP kemungkinan besar kekal mendapat undi Cina, manakala undi Melayu akan berpecah. Justeru, pengundi India menjadi penentu.”

DUN Kuala Kubu Baharu terletak di bawah Parlimen Hulu Selangor yang mempunyai 46% pengundi Melayu, Cina (30%), India (18%) and lain-lain (5%).

Adun itu berkata, DAP sedar masyarakat India cenderung terhadap gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) secara perlahan-lahan.

“Di sinilah masalahnya. Ada beberapa isu disebabkan perkara tertentu yang dilakukan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim melukakan masyarakat itu, seperti penggunaan istilah ‘k****g’ dalam ucapan, cara mengendalikan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia dan kurang perwakilan India dalam Jemaah Menteri.”

Sumber itu berkata, kaum India tidak begitu gembira dengan kerajaan, khasnya di peringkat persekutuan.

“Dengan itu, kami jangka dapat melihat undi India beralih kepada PN, walaupun sebagai undi protes,” katanya sambil menambah DAP memerlukan peratusan keluar mengundi tinggi untuk menang, iaitu sekurang-kurangnya 75%.

Seorang pemimpin kanan DAP Selangor yang enggan dinamakan berkata, parti itu masih dalam proses pemilihan calon dan tiada nama diputuskan setakat ini.

PRK Kuala Kubu Baharu akan diadakan 11 Mei ini. Kerusi itu kosong susulan kematian Adunnya selama tiga penggal, Lee Kee Hiong daripada DAP pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Lee julung kali memenangi kerusi itu pada 2013, selepas menewaskan Ooi Hui Wen daripada MCA dengan majoriti 1,702 undi dan mempertahankannya pada 2018 dengan majoriti 7,134 undi selepas mengetepikan calon MCA, Wong Koon Mun.

Pada PRN Ogos 2023, Lee terus mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,119 undi selepas menundukkan calon Gerakan, Henry Teoh.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo