NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengundi atas pagar jauhkan diri jika kerajaan gagal laksana reformasi, kata NGO

Rakyat sudah mula kecewa apabila tiada reformasi perundangan yang penting dilaksanakan setelah lebih setahun kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim mentadbir negara, kata jurucakap Projek Sama, Thomas Fann.


PETALING JAYA: Pengundi atas pagar akan menjauhkan diri sekiranya kerajaan gagal melaksanakan reformasi yang dijanjikan sebelum PRU16, menurut NGO Projek Sama.

Jurucakapnya, Thomas Fann berkata, rakyat sudah mula kecewa apabila tiada reformasi perundangan yang penting dilaksanakan setelah lebih setahun kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), mentadbir.

Bekas pengerusi Bersih itu berkata, kekecewaan, terutamanya dalam kalangan penyokong PH, mungkin akan menyebabkan mereka membelakangkan PRU16, malah menolak pemimpin ekstremis yang menawarkan janji populis.

“Jika (kerajaan perpaduan) tidak laksanakan (reformasi yang dijanjikan) sebelum PRU seterusnya, rakyat akan mula fikir kerajaan ini tiada bezanya dengan kerajaan terdahulu.

“Jika kerajaan (semasa) tidak mula laksanakan reformasi (yang dijanjikan), akan mendatangkan bahaya kepada negara,” katanya selepas majlis pelancaran Projek Sama hari ini.

Fann berkata, walaupun rakyat mengharapkan reformasi, isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) terus dibangkitkan tanpa kepimpinan yang jelas daripada kerajaan mengenai perkara itu.

Bulan lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menggesa rakyat agar terus percaya dan menyokong pentadbiran Anwar.

Katanya, kerajaan yang dianggotai parti-parti yang secara konsisten memperjuangkan keperluan reformasi telah mengambil langkah permulaan yang memberangsangkan bagi inisiatif reformasinya.

Banyak undang-undang perlu dibaharui, katanya, namun Dewan Rakyat hanya bersidang kurang 100 hari setahun.

Pada Februari lepas, Bersih mengadakan perhimpunan di luar bangunan Parlimen, yang dihadiri kira-kira 100 peserta, menuntut kerajaan melaksanakan reformasi politiknya.

Reformasi tersebut termasuk meluluskan Akta Pendanaan Politik, mengasingkan peranan pendakwa raya dengan peguam negara, dan mengehadkan tempoh penggal perdana menteri.

Sebagai respons, Anwar berkata, kerajaan telah mengambil tindakan atas beberapa cadangan Bersih dan sedang mempertimbangkan cadangan yang lain selepas pertemuan dengan NGO tersebut.

Menurut Anwar, pentadbirannya terbuka menerima saranan daripada badan pemantau pilihan raya itu, terutamanya yang boleh menambah baik proses pilihan raya.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo