NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wan Saiful dedah MP Gua Musang, Tg Karang 'ejen pujuk' sokong PM

story-image
Pemimpin Bersatu Wan Saiful Wan Jan mendakwa Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi menjadi 'ejen memujuk' wakil rakyat pembangkang untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Wan Saiful Wan Jan yang juga ahli parlimen Tasek Gelugor ketika membangkitkan dakwaan itu di parlimen turut menggesa speaker Dewan Rakyat menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas bagi mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya ingin mencadangkan Yang di-Pertua supaya Dewan Rakyat ini membuat satu ketetapan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas mengambil tindakan berdasarkan peraturan 80 (A) yang dibaca bersama Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) bagi mengenal pasti, membicara, memutuskan menghukum beberapa individu yang membuat penawaran bagi mempengaruhi kelakuan saya dalam dewan ini," katanya.

"Ini adalah usaha kacau ganggu, penawaran dan tindakan yang berbaur ancaman yang salah untuk mempengaruhi kelakuan saya sebagai seorang ahli parlimen.

"Berdasarkan butiran di atas tersebut telah berlaku kesalahan menghina majlis di bawah Seksyen 9 (d) dan Seksyen 9 (e) Akta Majlis Parlimen Keistimewaan dan Kuasa," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Kata Wan Saiful, pada 17 Jan 2024, Mohd Azizi (gambar atas) bersama dua individu yang dikenali sebagai 'Datuk Azman' dan 'Hasnan' berjumpa dalam usaha menyakinkan dia menyatakan sokongan kepada Anwar.

"Antara tawaran yang dibuat ialah mengenai peruntukan parlimen, peruntukan projek RM2 juta, bayaran untuk kos perubatan isteri saya dan kos guaman untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah," dakwanya.

Menurut Wan Saiful lagi, pada 26 Jan 2024 pula Dr Zulkafperi (gambar bawah) bersama seorang lagi individu dikenali 'Datuk Rahim' berjumpa dengannya.

"Ahli parlimen Tanjong Karang telah menghantar cadangan kepada saya ialah mengandungi ucapan yang mereka mahu saya ucapkan dalam parlimen pada 28 Februari semasa saya membahaskan titah Yang di Pertuan Agong ini.

"(Ini) usaha untuk mempengaruhi kelakuan saya," dakwanya.

Pada 28 Feb lalu, Wan Saiful mendakwa dia ditawarkan ganjaran untuk menyokong perdana menteri.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta pemimpin Bersatu itu tampil ke pejabatnya untuk membuat laporan.

SPRM turut memanggil Wan Saiful hadir membantu siasatan namun dia mengelak arahan suruhanjaya anti rasuah itu, membangkitkan soal kekebalan ahli parlimen dalam membuat sebarang kenyataan di Dewan Rakyat.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo