Mohd Isa Abdul Samad (kiri) dan Mohd Emir Mavani Abdullah.
Mohd Isa Abdul Samad (kiri) dan Mohd Emir Mavani Abdullah
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FGV Holdings Berhad, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad diperintahkan Mahkamah Tinggi hari ini membayar ganti rugi RM990,502.61 kerana didapati bertanggungjawab menggunakan unit kondominium mewah milik syarikat itu secara salah.

Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat itu, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah pula diperintahkan membayar ganti rugi RM2,322,705.86 berhubung perkara sama membabitkan satu lagi unit kondominium mewah syarikat.

Pada prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom itu, Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin memutuskan bahawa Mohd Isa dan Mohd Emir menyalahgunakan dua unit kondominium mewah Troika, Persiaran KLCC, dan

Mohd Emir juga menyalahgunakan penggunaan sistem penggiliran kereta serta faedah petrol syarikat.

Bagaimanapun, Mohd Arief berkata, mahkamah mendapati FGV Holdings selaku plaintif gagal membuktikan bahawa pemerolehan unit kondominium itu yang berharga RM12 juta (pada ketika itu) melebihi harga pasaran, dibuat secara salah.

Katanya, kedua-dua defendan didapati tidak melanggar tugas mereka kerana pembelian terbabit dibuat mengikut Resolusi Lembaga Pengarah.

"Kedua, walaupun jika saya salah, syarikat tidak mengalami apa-apa kerosakan di atas pemerolehan unit itu kerana masih dimiliki oleh plaintif dan tiada kerugian yang berlaku.

"Ketiga, defendan menggunakan unit itu secara salah dan secara salah menyebabkan ia dibekalkan tidak dengan mengikut prosedur syarikat. Defendan juga meletakkan kepentingan kepentingan berada dalam konflik dengan kepentingan syarikat dan tidak bertindak demi kepentingan plaintif.

"Defendan kedua telah melanggar tugasnya dengan menyalahgunakan sistem penggiliran penggunaan kereta syarikat dan kad petrol, dengan itu harus bertanggungjawab untuk membayar ganti rugi," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Isa selaku defendan pertama diperintahkan membayar ganti rugi RM211,200 bagi penggunaan Unit A, RM295,130 bagi kos ubah suai, RM184,172.61 bagi kos kelengkapan serta RM300,000 bagi ganti rugi teladan kerana beliau adalah pengerusi dan pengarah.

Mohd Emir pula, diperintahkan membayar ganti rugi penggunaan kondiminium Unit B sebanyak RM68,400, RM207,505.18 bagi kos ubah suai, RM97, 591.95 bagi kos perbelanjaan, RM1.4, juta bagi penggiliran penggunaan kereta syarikat, RM10, 837.10 bagi kos penggunaan kad petrol dan ganti rugi teladan sebanyak RM500,000.

Pada prosiding itu, FGV diwakili peguam Andrew Chiew dan Hoi Jack S'ng manakala Lavinia Kumaraendran Mavinthra Jothy Thillainathan bertindak bagi pihak Mohd Isa, dan Vincent Lawrence Abdul Rahim Abdul Rahim pula mewakili Mohd Emir.

FGV Holdings menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia pada 30 November 2018, menjelaskan saman difailkan terhadap kedua-dua defendan itu adalah berhubung pembelian kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC oleh FGV dengan harga dikatakan melebihi pasaran.

Syarikat itu memaklumkan saman berkenaan juga berkaitan penyalahgunaan kenderaan syarikat dan faedah petrol oleh Mohd Emir.

Justeru, FGV menuntut RM4.54 juta daripada kedua-dua defendan berhubung pembelian kondominium berkenaan dan RM3.15 juta daripada Mohd Emir atas dakwaan menyalahgunakan kenderaan syarikat dan faedah petrol.

FGV Holdings juga menuntut faedah pada kadar lima peratus setahun terhadap ganti rugi diberikan mulai dari tarikh pemfailan saman itu sehingga tarikh penyelesaian penuh dan muktamad.