NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes Dzulkefly saman Asyraf Wajdi, sudah ‘sesama kawan’, mahkamah saran selesai cara baik

Pada 12 April 2022, Dzulkefly Ahmad menyaman Asyraf Wajdi Dusuki atas dakwaan memuat naik hantaran memfitnah menerusi Twitter pada 2020.


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini mencadangkan supaya kes saman difailkan Dzulkefly Ahmad terhadap Asyraf Wajdi Dusuki, berhubung hantaran Twitter yang didakwa memfitnah menteri kesihatan itu, diselesaikan secara baik.

Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Asyraf Wajdi selaku peguam berkata, Hakim Norakhmar Mohd Sani membuat cadangan itu semasa prosiding di kamarnya hari ini, yang turut dihadiri peguam Jaden Phoon Wai Ken mewakili Dzulkefly.

“Hakim memaklumkan sebarang penyelesaian boleh dimasukkan sebelum tarikh perbicaraan pada 20 hingga 24 Jan 2025,” katanya kepada pemberita.

Menurut Mohamed Shahrul Fazli, hari ini ditetapkan untuk perbicaraan kes saman itu, namun ditangguhkan oleh mahkamah berikutan keadaan kesihatan Dzulkefly yang tidak baik.

Pada 12 April 2022, Dzulkefly selaku plaintif menyaman Asyraf Wajdi, yang juga setiausaha agung Umno, atas dakwaan memuat naik hantaran memfitnah menerusi Twitter (platform media sosial kini dikenali sebagai X) pada 24 Ogos 2020, yang turut diterbitkan dalam Facebook defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa hantaran itu antara lain membawa maksud beliau mengamalkan kronisme dan nepotisme, khususnya dalam proses pelantikan anak perempuannya sebagai ahli Lembaga Pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), selain menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya selaku menteri kesihatan untuk kepentingan peribadi dan keluarganya.

Dzulkefly menegaskan, kata-kata fitnah itu tidak berasas dan tidak benar kerana semasa pelantikan anak perempuannya, AIM ditadbir urus oleh lembaga pemegang amanah yang dianggotai wakil kerajaan Barisan Nasional ketika itu.

Tambahnya, beliau bukan menteri manakala Pakatan Harapan bukan kerajaan pada masa itu.

“Pelantikan terbabit berdasarkan penilaian objektif terhadap merit dan kelayakan anak perempuan saya,” kata Dzulkefly dalam pernyataan tuntutannya.

“Kementerian Kesihatan juga mengeluarkan pernyataan media yang dengan jelas menyatakan kementerian itu tidak terlibat dengan pelantikan anak perempuan saya.”

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan atau menyebarkan semula kata-kata fitnah itu.

Selain itu, defendan dituntut menerbitkan permohonan maaf secara bertulis kepada plaintif yang kemudiannya diterbitkan menerusi Twitter atau dihebahkan dalam akhbar tempatan pilihan plaintif.

Sementara itu, Asyraf Wajdi menerusi pernyataan pembelaannya berkata, hantaran itu dibuat tanpa sebarang niat jahat untuk merosakkan reputasi dan nama baik plaintif.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo