NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Fikir masak-masak anjur Sukan Komanwel, saran bekas pengerusi Sukom 98

Hashim Mohd Ali berpendapat Malaysia tidak berada pada kedudukan terbaik untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026. (Gambar Bernama)


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu berfikir semasak-masaknya dan mempertimbangkan secara serius tawaran menganjurkan temasya Sukan Komanwel 2026, kata bekas pengerusi Sukom Ninety Eight Berhad Jen (B) Hashim Mohd Ali.

Hashim berpandangan kerajaan perlu menangguhkan hasrat menganjurkan temasya sukan empat tahun sekali itu kerana Malaysia tidak berada pada kedudukan terbaik untuk melakukannya dari segi masa dan langkah penjimatan kerajaan.

Bekas Panglima Angkatan Tentera itu menganggap tempoh berbaki kira-kira dua tahun terlalu singkat untuk melakukan persiapan intensif, sekali gus meragui kemampuan Malaysia mengulangi pencapaian membanggakan sewaktu menjadi tuan rumah buat julung kali pada 1998.

“Masa kita ditawarkan jadi tuan rumah dulu, kita ada empat tahun untuk buat persiapan, antaranya menaik taraf lokasi, mendapatkan penajaan dan menyediakan infrastruktur.

“Kali ini diberi tempoh dua tahun saja … kalau nak buat betul-betul dan setaraf dengan edisi 1998, saya rasa tak boleh sebab waktunya singkat,” katanya.

“Kalau ada empat tahun, kita boleh dapatkan penaja, itu yang dilakukan sebelum ini dan kerajaan terpaksa buat, kita tubuh sebuah syarikat iaitu Sukom 98 yang mengendalikan temasya itu.”

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika mahu menganjurkannya sendiri, kerajaan perlu mengeluarkan sejumlah bajet yang besar bagi menampung pelaburan kewangan menjangkau 100 juta pound (kira-kira RM601 juta) yang hadir bersama tawaran diberikan.

Namun, katanya, dengan kedudukan ekonomi ketika ini, perkara itu dilihat akan membuka pintu kepada pengkritik.

“Kalau ada begitu banyak wang, tujukan kepada rakyat, manfaatkan mereka dengan membina hospital ataupun sekolah. Kalau buat (Sukan Komanwel), nanti (jadi) pintu untuk orang katakan, ini tak sesuai kerana kerajaan gunakan wang sebanyak itu untuk perkara lain dan bukannya rakyat,” katanya.

Tambahnya, keputusan Victoria, Australia menarik diri daripada menjadi penganjur mesti ada sebab-sebab tertentu, justeru Malaysia juga tidak perlu terkejar-kejar untuk menawarkan diri sebagai penganjur pada 2026.

Isnin lepas, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 bagi menggantikan Victoria, yang menarik diri pada Julai tahun lepas.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat Rabu lepas berkata, keputusan sama ada Malaysia akan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 atau tidak akan dibincangkan oleh Jemaah Menteri minggu depan.

Nasib Sukan Komanwel 2026 kekal menjadi tanda tanya selepas Victoria menarik diri daripada menjadi penganjur disebabkan peningkatan kos penganjuran berbanding jangkaan awal, iaitu daripada AUD2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta kerana melanggar kontrak apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17 hingga 29 Mac 2026.

Selain Victoria, India juga tidak berminat menjadi pengganti menganjurkan edisi temasya itu pada 2026.

Wilayah Alberta di Kanada turut menarik diri daripada proses bidaan Sukan Komanwel 2030 selepas seminggu Victoria mengumumkan menarik diri.

Dari 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli CGF, hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia pernah menjadi tuan rumah.


Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo