Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Gesaan kepada kerajaan untuk mengarahkan semua majikan di Malaysia untuk memberi bantuan sebulan gaji sebagai persediaan hari perayaan adalah satu pendekatan yang tidak wajar dilaksanakan.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata perkara itu akan memberi beban besar bagi perniagaan yang masih belum pulih daripada pandemik COVID-19.

"Pembayaran sebulan gaji untuk bantuan perayaan jika diwajibkan kepada semua majikan sektor swasta akan membabitkan tambahan perbelanjaan melebihi RM30 bilion.

"Pada umumnya bukan semua syarikat swasta mendapat keuntungan daripada operasi mereka pada setiap tahun," katanya kepada BH, hari ini.

Menurut Syed Hussain, ketika ini ada majikan yang berkemampuan memberikan bonus sama ada secara sukarela atau berdasarkan perjanjian pada akhir tahun atau pada akhir tahun kewangan masing-masing.

"Dalam keadaan sedemikian, pihak syarikat boleh berbincang dengan pekerja supaya sebahagian daripada bayaran bonus berkenaan dibayar mengikut perayaan yang diraikan oleh pekerja berkaitan.

"Bagaimanapun, langkah sedemikian tidak membabitkan kos tambahan kepada majikan dan pada masa yang sama akan dapat membantu pekerja meraikan sambutan perayaan yang berkaitan," katanya.

Syed Hussain berkata, bonus berkenaan jika dibayar perlu berdasarkan prestasi kewangan syarikat serta prestasi dan produktiviti pekerja mereka.

"Polisi sedemikian akan membuatkan syarikat-syarikat swasta di Malaysia lebih berdaya saing dan kompetitif, selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan daya saing Malaysia dalam kelompok 12 teratas negara yang paling berdaya saing dalam Indek Daya Saing Dunia.

"Tarikh pembayaran bonus secara sukarela selepas perbincangan dengan pekerja boleh diselaraskan dengan perayaan yang diraikan pekerja berkaitan," katanya.

Jelas beliau, kebanyakan perniagaan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih belum pulih daripada pandemik COVID-19.

"PMKS adalah kumpulan perniagaan terbesar dan dianggarkan melebihi 97 peratus daripada semua perniagaan berdaftar di Malaysia dan mereka memerlukan masa untuk membina semula aliran tunai dan sumber mereka.

"Kebanyakan perniagaan membuat perancangan perniagaan mereka sejak awal tahun dan amat penting untuk mereka melaksanakan perancangan yang dibuat untuk memastikan operasi berjalan lancar dan kedudukan kewangan yang stabil," katanya.

Baru-baru ini, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengarahkan semua majikan di Malaysia untuk memberi bantuan sebulan gaji sebagai persediaan hari perayaan.

Presidennya, J Solomon, berkata pemberian berkenaan akan memperkasakan pekerja golongan kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) dalam meraikan sambutan serta mengukuhkan ikatan kekeluargaan merentasi pelbagai agama bagi memaparkan kekayaan sebenar Malaysia.

Sumber asal | BHarian