NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PMX digesa noktahkan cadangan Kor Ming

KUALA LUMPUR: Cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dilihat mempunyai agenda tersembunyi bukannya pada nilai sejarah kampung tersebut.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden yang juga Ahli Parlimen Alor Setar membidas cadangan dikemukakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming daripada DAP itu

“Implikasi yang dibimbangi daripada pengiktirafan tapak warisan UNESCO adalah ia boleh membawa persepsi bahawa ia adalah sesuatu yang asli dan asal kepada negara, manakala penduduk di tapak itu pula dianggap sebagai peribumi atau penduduk asal. 

“Tanpa mengheret isu ini ke arah pertembungan perkauman yang tidak sihat, Pemuda PN bimbang pengiktifaran UNESCO akan digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencabar status ‘keperibumian’ penduduk asal negara ini pada hari mendatang.

“Ini adalah sesuatu yang tidak tepat kepada identiti teras dan hegemoni kebudayaan negara kita yang berteraskan Melayu Islam dan Kesultanan Melayu,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Menurut beliau, cadangan Nga Kor Ming kali ini nampaknya membawa maksud yang sama dengan tuntutannya pada tahun 2018 ketika beliau menjadi Pengerusi DAP Perak, di mana menuntut Kerajaan Negeri Perak memberi hak milik tanah kekal atau 999 tahun kepada Kampung-Kampung Baru di negeri itu. 

“Setakat ini, hanya suara pemimpin Umno yang keras menolak cadangan Nga Kor Ming, namun suara pemimpin parti komponen kerajaan lain masih belum mengeluarkan bantahan. 

“Suara Umno pula dilihat tidak signifikan memandangkan perbezaan kekuatan DAP dan Umno dalam kerajaan PH-BN. 

“Pemuda PN menggesa Perdana Menteri segera mengeluarkan kata putus kepada cadangan Nga Kor Ming dalam menoktahkan polemik yang sensitif ini. Cadangan beliau sangat berbahaya kepada keharmonian masyarakat kerana telah menyentuh isu yang begitu sensitif,” katanya. 

Sumber | HARAKAHDAILY 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo