NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keputusan semakan Rumah Bonda cabar tindakan lak 4 April

Dalam permohonan semakan kehakiman, Siti Bainun Ahd Razali mendakwa Notis Tindakan Lak yang dikeluarkan JKM pada 9 Jul 2021 terhadap pemohon dan pelaksanaan tindakan dipengaruhi desakan masyarakat susulan laporan media mengenai isu penderaan Bella.


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 4 April ini untuk keputusan permohonan semakan kehakiman Rumah Bonda bagi mencabar tindakan Lak atau sita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan terhadap premis berkenaan.

Rumah Bonda selaku pemohon menerusi pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 13 Ogos 2021 dengan menamakan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan serta menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai responden pertama dan kedua.

Peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili pemohon berkata Hakim Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pemohon dan responden menerusi aplikasi Zoom hari ini.

“Keputusan semakan kehakiman itu akan disampaikan melalui aplikasi Zoom, pada 10 pagi,” kata peguam itu kepada pemberita. Prosiding itu turut disertai Peguam Kanan Persekutuan Nur Idayu Amir mewakili responden.

Pada 15 Nov 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Rumah Bonda untuk mendapatkan kebenaran daripada mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman terhadap tindakan Lak atau sita terhadap premis di Taman Setapak itu, susulan dakwaan penderaan remaja sindrom down dikenali sebagai Bella selepas membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan tersebut.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 25 Jul 2023 memerintahkan permohonan semakan kehakiman pertubuhan kebajikan itu dikembalikan untuk didengar di Mahkamah Tinggi, apabila panel hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa terdapat merit dalam rayuan Rumah Bonda.

Dalam permohonan itu, Siti Bainun mendakwa Notis Tindakan Lak yang dikeluarkan JKM pada 9 Julai 2021 terhadap pemohon dan pelaksanaan tindakan itu pada 12 Julai tahun sama adalah dipengaruhi desakan masyarakat susulan laporan media mengenai dakwaan berlaku penderaan terhadap Bella yang tular pada 5 Julai 2021.

Siti Bainun antara lain mendakwa kedua-dua responden bertindak sedemikian sebagai suatu reaksi terburu-buru selepas desakan masyarakat yang menuntut JKM dan kerajaan mengambil tindakan tegas dalam kes itu sedangkan remaja tersebut tiada kaitan dan bukan penghuni Rumah Bonda.

Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman apabila didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.


Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo