Datuk Dr Adnan Mat
Datuk Dr Adnan Mat

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan penamatan pelantikan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM atau Tourism Malaysia) secara mengejut boleh menjejaskan keharmonian perkhidmatan awam.

Presiden Cuepacs Datuk Dr Adnan Mat berkata, pihaknya memohon penjelasan penuh daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Tiong King Sing berkenaan isu penamatan terhadap Datuk Dr Ammar Abd Ghapar itu.

Beliau berkata, notis penamatan yang dikeluarkan pada 22 Februari dan berkuatkuasa pada 26 Februari itu dilihat amat singkat dan mengejutkan itu boleh menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pihak berkepentingan terutama penggiat industri tempatan.

"Walaupun kuasa melantik Ketua Pengarah LPPM itu adalah dibawah bidang kuasa Menteri, tindakan seperti itu dilihat boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni antara anggota pentadbiran dan penjawat awam.

"Suasana keharmonian dan kebersamaan itu perlu dijaga apatah lagi dengan usaha untuk mencapai sasaran ketibaan 27.3 juta pelancong asing bagi tahun ini memerlukan kerja yang berpasukan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebersamaan antara anggota pentadbiran dan penjawat awam wajar diharmonikan dengan suasana semak dan imbang supaya sistem pentadbiran kerajaan benar mencapai matlamat dan memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

Namun, katanya, bagaimana boleh wujud keharmonian jika isu kebersamaan sering kali menjadi perbalahan oleh kedua-dua pihak.

"Anggota pentadbiran datang dan pergi, yang tinggal adalah penjawat awam. Maka pengalaman penjawat awam dan idealisme atau pendekatan hendak dibawa oleh anggota pentadbiran yang silih berganti perlu digabung jalin dengan sebaik mungkin bagi menghasilkan mutu dan kualiti perkhidmatan terbaik buat sesebuah organisasi dalam memberikan khidmat bakti kepada negara.

"Keadaan yang wujud seperti yang dihadapi oleh isu penamatan Ketua Pengarah LPPM dapat dielakkan sekiranya kedua-dua pihak mengambil pendekatan yang berhikmah bagi mencapai solusi yang terbaik.

"Jika tidak, ia akan memberikan gambaran atau persepsi yang kurang baik kepada pihak kerajaan seolah-olah tiada kebersamaan dalam sistem pentadbiran kerajaan bagi sesebuah kementerian/jabatan atau agensi kerajaan," katanya.

Adnan berkata, pihak Cuepacs faham sebagai seorang Menteri, King Sing memang mempunyai kuasa tetapi adakah tindakan penamatan itu dilihat jalan yang terbaik dalam merungkai isu yang dihadapi.

Apatah lagi, katanya, King Sing sering kali kelihatan sebagai seorang figura yang kerap terpalit dengan isu yang berkisar tentang pelanggaran kepada peraturan yang ada dalam sistem pentadbiran kerajaan semasa.

"Sebagai sebuah kerajaan Madani yang mempertahankan prinsip dan nilai yang baik seperti ihsan dan kebersamaan maka wajar kita menunjukkan contoh yang baik supaya rakyat tidak celaru pemikirannya dengan tingkah laku yang tidak enak untuk mereka tatapi.

"Jika benar berlaku pelanggaran, ada pihak yang boleh dirujuk sebelum kuasa pemutus digunakan. Cuepacs merasakan perlu ada pihak ketiga yang menjadi penasihat dalam memastikan situasi yang adil lagi saksama dapat dipraktikan pada masa hadapan sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan.

"Jika pengguna boleh pergi ke bahagian tribunal pengguna untuk menyelesaikan permasalahan mereka maka untuk penjawat awam juga ada baiknya jawatankuasa yang bersifat sebagai pihak ketiga diwujudkan," katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa sedemikian sekali gus dapat menangkis tanggapan yang kurang baik terhadap imej perkhidmatan awam dan kerajaan secara keseluruhannya.

"Tambahan pula pendekatan oleh tonggak utama dalam perkhidmatan awam negara Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) baru-baru ini melalui pelaksanaan Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) dan Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran (HEMAT) sudah meletakkan penjawat awam supaya lebih ke hadapan dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan sentiasa berada pada landasan dan KPI (indeks petunjuk prestasi) yang betul dan seiring dengan dasar pemerintahan semasa negara," katanya.

Sumber asal | HMetro