NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Segerakan ambil graduan perubatan jadi pelatih, kerajaan digesa

Hospital kerajaan harus mengenal pasti jabatan kritikal yang terjejas terutamanya akibat kekurangan dan ketidakseimbangan doktor pelatih, kata kumpulan mewakili doktor.


PETALING JAYA: Kumpulan berkepentingan mewakili doktor menggesa kerajaan menyegerakan pengambilan graduan perubatan sebagai pelatih berikutan dilaporkan berlaku kekurangan di sebuah hospital pengajar, di sini.

Malaysian Medics International (MMI) berkata perhatian segera perlu diberikan untuk menangani kekurangan dan ketidakseimbangan yang teruk.

“Pendekatan bersasar boleh dilibatkan bagi mempercepatkan pengambilan graduan perubatan ke dalam sistem housemanship untuk peralihan yang lebih cepat daripada tamat pengajian kepada latihan amali,” katanya dalam satu kenyataan.

MMI memberi contoh Singapura, yang menawarkan masa lebih singkat antara tamat pengajian dan bekerja, berbanding menunggu kira-kira enam bulan di Malaysia untuk mendapat tempat.

“Oleh itu, dengan jurang yang lebih pendek, lebih ramai graduan perubatan dapat bekerja lebih awal untuk mengurangkan masalah kekurangan pegawai perubatan,” katanya.

Tambahnya, hospital kerajaan harus mengenal pasti jabatan kritikal yang terjejas akibat kekurangan dan ketidakseimbangan doktor pelatih bagi membolehkan keutamaan diberikan berdasarkan keperluan segera.

Pada Jumaat, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan menjelaskan mengenai kekurangan doktor pelatih di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Memetik pekeliling dalaman, portal berita kesihatan CodeBlue melaporkan pada Isnin bahawa jabatan perubatan di hospital itu menghadapi kekurangan doktor pelatih.

Oleh itu, jabatan itu dilaporkan sedang mempertimbangkan protokol “sifar HO” (tiada doktor pelatih), di mana ia beroperasi di bawah andaian bahawa ia tidak lagi mempunyai perkhidmatan doktor terbabit.

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata sebarang kemungkinan kekurangan doktor pelatih membimbangkan kerana lebih 70% penduduk bergantung kepada sistem penjagaan kesihatan awam.

“Memang membingungkan apabila dikatakan bahawa terdapat kekurangan doktor pelatih, lebih-lebih lagi antara 3,000 hingga 5,000 graduan perubatan dihasilkan setiap tahun.

“Berapa ramai daripada graduan perubatan ini telah memasuki sistem penjagaan kesihatan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini dan berapa ramai yang meletak jawatan? Adakah graduan perubatan terlalu memilih tempat yang mereka ingin berkhidmat?” soalnya.

Azizan turut meminta maklum balas berhubung sistem e-Houseman (e-HO) yang diwujudkan bagi membolehkan mereka yang berminat memohon berada dalam perkhidmatan kesihatan.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo