NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Royalti: Perlukah ikut perangai penjajah?

Terengganu adalah negeri yang terlibat secara paksa dalam Perjanjian Bangkok tahun 1909. Dalam perjanjian itu, Terengganu secara tidak rela, telah diserahkan oleh Siam kepada British dalam satu rundingan yang langsung tidak melibatkan persetujuan pemerintah Terengganu ketika itu, Sultan Zainal Abidin III, sedangkan Terengganu adalah sebuah negeri Islam yang merdeka. Akibat daripada itu, British mula campurtangan dengan pentadbiran Terengganu.

Akan tetapi dengan kebijaksaan Sultan Zainal Abidin III serta wazir baginda serta dibantu oleh ulamak-ulamak yang cukup ramai di negeri Terengganu ketika itu, British tidak berjaya menganggu pemerintahan Terengganu. Antara tindakan bijak mereka ialah segera mewartakan undang-undang tubuh negeri, Itqan Al-Muluk Bil Ta’dil As-Suluk. Juga ditubuhkan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negeri bagi menjalankan urusan pentadbiran.

Mereka bergabung mempertahankan tanahair mereka daripada dijajah oleh British. Mereka belajar dari pengalaman negeri-negeri Melayu Bersekutu yang mana terpaksa menerima Residen British yang kononnya bertugas memberi nasihat, tetapi sebaliknya merampas terus tampuk kuasa Sultan. Dan di Terengganu sehingga beberapa lama, British hanya berjaya melantik seorang Konsulat yang menjadi pemerhati sahaja dalam mesyuarat Kerajaan Negeri.

Akan tetapi betapa kuatnya pertahanan yang dibina oleh Terengganu, begitulah juga serangan dan tekanan yang diberikan British terhadap pemerintah. Terengganu akhirnya terpaksa menerima seorang Residen British pada tahun 1919, setelah kemangkatan Sultan Zainal Abidin III. Pengganti baginda, Sultan Muhammad Muazzam Shah II, dipaksa menandatangani perjanjian dengan Inggeris. 
Antara kelemahan Kerajaan Negeri yang berjaya British gunakan ialah masalah kewangan, selain daripada tuduhan Kerajaan Negeri tidak berjaya mengurus dengan baik dalam isu tahanan mati dalam penjara di Kemaman. British turut menggubal sistem cukai yang baharu dan dengan liciknya menyuruh Ahli Majlis Mesyuarat Terengganu meluluskannya. Nanti bukan mereka yang dimarahi rakyat, tetapi Ahli Majlis Mesyuarat yang akan menghadapi semuanya. 

Kemudian, pada zaman moden ini, Kerajaan Terengganu yang diterajui oleh pimpinan ulamak sekali lagi dikalahkan dengan tekanan ekonomi, iaitu sekatan kepada bayaran royalti petroleum pada tahun 1999-2004. Wang itu diberikan kepada pihak yang salah. Kalahlah Kerajaan PAS Terengganu yang ketika itu telah berjaya menaikkan semula kehormatan Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu hasil buah fikiran Sultan Zainal Abidin III.

Kini, pada tahun 2024, Terengganu sekali lagi dipermainkan dengan wang royalti oleh Kerajaan Pusat. Ia saling tidak ubah dengan perangai British yang menekan ekonomi bagi merampas kerajaan walaupun dengan cara yang sangat kotor. Kita memahami British dengan tindakan mereka, tetapi kita tidak menyangkakan orang yang selama ini melaung-laungkan sebagai penentang kezaliman, juga bertindak zalim dengan menyekat wang hak milik rakyat Terengganu.

Sedangkan pencapaian Terengganu dibawah Dr Sam sangat memberangsangkan setelah sepenggal memerintah selain daripada tiada kes penyelewengan yang dibuktikan. Antaranya selain daripada menunaikan segala manifesto kepada rakyat, banyak GLC-GLC mencatatkan keuntungan atau keluar dari zon kerugian yang membaham duit rakyat dan hal berkenaan kebajikan rakyat. Bagaimana hutang negeri dikurangkan dengan banyak, sedangkan hutang Kerajaan Pusat dengan Terengganu, masih belum mereka langsaikan.

Amatlah buruk sikap Kerajaan Pusat jika terus memilih bermusuh dengan Kerajaan Negeri kerana ia jelas sekali melanggar prinsip persekutuan yang mana wajib memberikan hak-hak Negeri. Adakah Pusat cuba mengikuti taktik British yang cuba memburukkan nama Kerajaan Negeri dengan masalah kewangan ini, supaya rakyat membenci? Maaf, Pusat melakukan kesilapan yang amat besar kerana zaman British dahulu, tiada kemudahan maklumat. Tetapi sekarang, maklumat hanya di hujung jari. Matanglah wahai Kerajaan Pusat.

10 Januari 2024

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo