Abang Johari bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Kuching, hari ini. - NSTP/NADIM BOKHARI
Abang Johari bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Kuching, hari ini. - NSTP/NADIM BOKHARI

KUCHING: Cadangan penggubalan rang undang-undang (RUU) khusus bagi membolehkan kerajaan mentadbir dan bertahan hingga akhir penggal, memerlukan penelitian oleh pakar perundangan, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Beliau menjelaskan, ini kerana kebebasan untuk memilih kerajaan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, katanya, unsur paksaan tidak boleh digunakan dalam menentukan kerajaan memerintah, namun kaedah lain perlu diteliti bagi membolehkan kerajaan yang stabil terus memerintah.

"Saya tidak tahu sangat latar belakang (cadangan RUU berkenaan) sama ada undang-undang itu boleh dilaksanakan atau tidak. Bagaimanapun, ia perlu diserahkan kepada pakar perundangan kerana dalam Perlembagaan Persekutuan ada menyebut kebebasan untuk memilih.

"Ini bermakna kita tidak boleh menggunakan paksaan tetapi boleh menggunakan kaedah lain seperti membuat peraturan untuk kita memantau keadaan politik. Ia kerana dalam amalan demokrasi, rakyat bebas untuk memilih," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, serta dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Media semalam melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata satu undang-undang khusus perlu digubal bagi membolehkan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU), mentadbir dan bertahan hingga akhir penggalnya.

Presiden UMNO itu dipetik berkata, dengan undang-undang berkenaan sekiranya diperkenalkan, kerajaan akan dapat memfokus mentadbir negara, sekali gus mengelak sebarang ganggu-gugat politik yang tidak berkesudahan.

Susulan itu, PAS dilapor menyelar dan menyifatkan syor mewujudkan RUU berkenaan sebagai kenyataan terdesak untuk terus kekal berkuasa.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dipetik berkata cadangan dikemukakan Ahmad Zahid jelas membelakangkan Perlembagaan Persekutuan dan demokrasi.

Mengulas lanjut, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, pihaknya tetap dengan pendirian mahu politik peringkat nasional stabil.

"Saya tidak boleh komen lebih kerana yang GPS mahu hanyalah kestabilan politik peringkat nasional.

"Kurangkanlah 'langkah-langkah'.... ini ada 'Langkah Dubai', 'Langkah London'... kita tumpukanlah kepada usaha memulihkan ekonomi," katanya.


Sumber | BHarian