(Gambar fail) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz
(Gambar fail) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz, dipilih sebagai Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang baharu.

PUM dalam satu kenyataan, hari ini, berkata pemilihan Wan Mohamad dibuat selepas mendapat persetujuan sebulat suara ahli dan kepimpinan persatuan itu.

Katanya, PUM mengadakan pemilihan barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2023-2025 pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-43, kelmarin.

"Sehubungan itu, terdapat perubahan barisan kepimpinan PUM di mana jawatan Yang Dipertua diamanahkan kepada Wan Mohamad dengan persetujuan sebulat suara," katanya.

Sebelum ini, Wan Mohamad adalah Timbalan Yang Dipertua PUM untuk lebih sedekad lalu, selain memegang jawatan Setiausaha Agung dari 1993 hingga 1997.

Beliau juga adalah seorang tokoh yang bergiat aktif dalam lapangan dakwah di tanah air.

Dalam pada itu, bekas Yang Dipertua PUM, Datuk Abdul Halim Abdul Kadir pula diangkat sebagai Penasihat (Mursyid) persatuan terbabit bersandarkan pengalamannya dalam dunia dakwah selama ini.