NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wahab matikan telefon, belum tampil dirakam keterangan

Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata usaha menghubungi Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani gagal sejak seminggu lalu.

PETALING JAYA: Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani diminta segera tampil bagi mengesahkan peranan “Mr H”, susulan usaha polis menghubunginya tidak berjaya walaupun telah dipanggil sejak seminggu lalu.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, menggunakan pelbagai cara dalam usaha mengesan penolong pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) itu.

“Meskipun sudah dipanggil untuk membantu siasatan, Wahab masih belum tampil untuk membantu polis berhubung siasatan kes berkenaan.

“Kita menggunakan pelbagai cara termasuk menghubunginya, namun telefon bimbit miliknya dimatikan,” katanya menurut Berita Harian.

Razarudin berkata, tindakan polis mengesan Wahab melalui peguamnya juga menemui jalan buntu.

“Justeru, saya meminta kepada Wahab untuk segera tampil untuk proses rakaman percakapan bagi membantu siasatan sekaligus menyelesaikan kes berkenaan dalam kadar segera.

“Maklumat dan keterangan daripada Wahab amat penting sekali gus dapat mengesahkan peranan ‘Mr H’ dalam kes berkenaan,” katanya.

Pada 17 Nov, individu bergelar “Mr H” itu disebut Wahab pada sidang media bersama bekas ketua pengarah J-Kom, Mohammad Agus Yusoff.

Wahab, yang mendedahkan dirinya sebagai orang yang diarah untuk merakam perbualan video dengan Agus, mendakwa terdapat suatu komplot yang didalangi oleh “individu-individu berjawatan tinggi” di J-Kom.

Jumaat lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo