BERMULA dengan ayat 7, diceritakan bahawa Allah S.W.T menciptakan manusia daripada titis air mani. Nabi Adam dan Hawa diciptakan daripada tanah liat. Sebelum manusia diciptakan, alam sudah pun ada dan yang mendiami dunia pada ketika itu ialah jin.

Jin suka berperang dan membunuh antara satu sama lain. Allah memanggil semua malaikat dan memberitahu bahawa Dia akan menciptakan seorang khalifah untuk menjaga dunia. Kita manusia hidup di alam zahir manakala malaikat dan jin hidup di alam ghaib.

Jin boleh terbang dari Timur ke Barat dalam masa sekejap, menyelam dalam laut seperti yang mengambil mutiara pada zaman Nabi Sulaiman dan membina rumah dan istana yang sangat besar seperti yang diarahkan oleh Nabi Sulaiman.

Manusia pun ada kelebihannya berbanding dengan jin. Kita lebih mulia daripadanya. Sebab kita ialah khalifah Allah S.W.T. Kita tidak boleh tunduk dan menjadi hamba kepada jin. Manusia yang soleh jauh lebih hebat dan mulia di sisi Allah S.W.T.

Contoh telah ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman. Baginda boleh mengarahkan jin supaya menyelam dalam laut dan membina istana. Di saat jin sedang membina istana, Nabi Sulaiman menunggu sambil duduk di atas kerusi. Ketika Baginda sudah pun wafat, jin tidak mengetahuinya.

Sehingga akhirnya dapat tahu apabila tongkatnya sudah reput dimakan oleh anai-anai dan Baginda rebah. Rupa-rupanya, Baginda sudah lama wafat. Disebabkan jin ini takut dengan Baginda, jadi ia membina istana sehingga selesai. Itulah kelemahan jin di mana Nabi Sulaiman boleh mengarahkannya dan ia tidak mengetahui bahawa Baginda sudah wafat.

Kisah ini menjelaskan mengenai kelebihan manusia. Kita dilatih untuk menjadi seorang khalifah. Semua makhluk sujud termasuk jin kerana kita lebih mulia. Jadi, tidak kena kalau kita jadi hamba, tunduk dan takut kepada jin. Tidak Nabi sahaja hebat apabila berdepan dengan jin, ada juga seorang wali Allah yang bernama Asif bin Barkhiya.

Dalam peristiwa ketika burung Hud Hud menyampaikan berita kepada Nabi Sulaiman mengenai seorang wanita yang menjadi raja. Kerajaannya besar tetapi dia menyembah matahari. Lalu, Baginda bertanya kepada semua jin dan manusia yang ada dalam majlis di istananya, siapa antara mereka yang boleh membawa singgahsana Balqis kepadanya dengan kadar segera. Jaraknya jauh beratus-ratus batu.

Jin Ifrit memberitahu bahawa ia boleh membawa singgahsana sebelum majlis pertemuan itu selesai. Seorang wali Allah yang berilmu pula memberitahu bahawa beliau boleh membawanya dalam sekelip mata dengan membaca zikir “Ya Zaljalali Wal Ikram” sebagaimana pendapat sebahagian ahli tafsir [1].

Ini bermakna manusia jauh lebih hebat berbanding dengan jin. Walaupun kita diciptakan daripada setitis air mani yang hina, kita lebih mulia disebabkan oleh iman, amal soleh dan dekat dengan-Nya. Kalau dikira dari segi kejadian, kita langsung tiada nilai. Air mani kalau diletak di atas tanah, ayam tidak mematuk dan itik tidak menyudu.

Oleh sebab itu, kita jangan bersikap sombong walaupun ada gelaran Tengku, Dato’, Raja atau Perdana Menteri sekalipun sebab hakikat kejadian kita adalah hina. Mulianya kita adalah dengan agama, iman dan amal soleh. Kita nak menghormati orang lain pun atas dasar tersebut bukan semata-mata kerana jawatannya. Ulamak ialah orang yang paling utama harus dihormati.

Air mani datang daripada saripati makanan. Segala makanan yang kita makan diproses dan yang paling baik itulah akan menjadi mani. Oleh sebab itu, makanan yang baik akan membantu seseorang dalam melahirkan anak. Oleh sebab itu, makanan amat penting kerana mengandungi zat, protein dan vitamin.

Seperti yang disebutkan dalam surah al-Mukminun, daripada mani, ia membentuk seketul darah, kemudian segumpal daging, kemudian bertulang dan kemudian tulang itu dibaluti dengan daging. Dalam surah lain pula diceritakan ada yang lahir, mati keguguran dan mati selepas lahir.

Inilah proses kejadian manusia atau disebut sebagai embriologi. Ilmu sains tidak menemui ‘The Stages of Creations’ seperti yang diceritakan dalam surah al-Mukminun. ‘Falopian Tube’ ditemui oleh seorang pakar yang bernama Falop, jadi nama saluran itu diambil sempena dengan namanya.

Ilmu-ilmu sains ini ditemui setelah beratus-ratus tahun lamanya al-Quran diturunkan. Nabi Muhammad sudah pun boleh menceritakan mengenainya kerana itulah wahyu atau mukjizat Baginda S.A.W. Pada zamannya, tiada ilmu perubatan seperti hari ini. Ini merupakan bukti yang jelas bahawa al-Quran adalah mukjizat bukan datang daripada fikiran Nabi sepertimana yang dituduh oleh orientalis Barat.

Dr. Maurice Bucaille yang merupakan salah seorang pakar perubatan Perancis telah membuat kajian mengenai perbandingan antara al-Quran, Bible dan sains [2]. Hasilnya mendapati bahawa apa yang disebut dalam al-Quran antaranya mengenai kejadian manusia lebih menepati dengan ilmu sains berbanding dengan apa yang disebut dalam Bible. Ilmu itu merujuk kepada fakta saintifik yang merangkumi hipotesis, teori dan fakta. Jadi, apa yang disebut dalam al-Quran adalah fakta saintifik bukan teori atau hipotesis.

Kita diberi mata, telinga dan kemudian ditiupkan roh. Roh inilah yang membezakan kita dengan makhluk-makhluk yang lain. Antara sebab manusia menjadi mulia adalah kerana roh yang menghidupkan. Di peringkat awal kejadian Nabi Adam, Baginda bersin, itu tanda Baginda hidup. Roh yang ada pada manusia adalah ‘special’ kerana tiada pada makhluk lain seperti binatang.

Kemudian kita diberi akal fikiran. Binatang tiada akal fikiran. Walaupun binatang boleh dilatih seperti gajah bermain sarkas, harimau melompat dalam api atau beruk memetik buah kelapa tetapi ia tidak boleh mengajar anaknya untuk berbuat perkara yang sama. Seperti yang disebut oleh Almarhum Tok Guru, beruk boleh diajar untuk memanjat pohon kelapa, tidak tertukar antara buah kelapa muda dan tua, tetapi beruk itu sendiri tidak boleh mengajar anaknya. Sebab ia tidak mempunyai akal.

Akal fikiran yang diberi adalah bertujuan supaya kita bersyukur. Namun begitu, tidak ramai yang bersyukur. Allah berikan akal tetapi kita tidak menemui kebenaran. Ada PhD tetapi tidak dapat membuat pilihan antara agama dengan benda lain.

Syukur tidak memadai hanya dengan mengucap alhamdulillah. Syukur yang sebenar adalah menggunakan nikmat-Nya pada jalan yang betul. Contohnya, kalau ada harta, tunai zakat, haji, sedekah dan melakukan kebajikan. Namun, ada yang sudah mengelilingi satu dunia tetapi belum tiba di Makkah, makan mewah setiap hari tetapi tidak peduli akan jiran yang lapar, berilmu tetapi menyalahgunakannya, rupa yang cantik tetapi menggoda orang lain atau suami yang ‘handsome’ tetapi menganiayai isteri.

Surah as-Sajadah – Orang kafir yang tidak percaya hari akhirat

Dalam ayat 15, diceritakan mengenai orang kafir. Mereka menyoal, adakah setelah mati, badan menjadi hancur dan akan dihidupkan semula? Mereka tidak percaya akan hari akhirat. Dalam Surah Yasin, diceritakan mengenai seorang pemuka Quraisy yang terkenal yang bernama Ubai Bin Khalaf.

Dia datang berjumpa dengan Nabi S.A.W dengan membawa tulang yang sudah reput. Dia meramasnya di hadapan Nabi S.A.W sehingga hancur menjadi debu. Lalu dia bertanya, macam mana Tuhan nak menghidupkannya semula? [3] Oleh sebab itu, orang kafir walaupun umur sudah 70-80 tahun, tetap berjalan sana sini, ‘holiday’ atau berpesta sebab bagi mereka inilah hidup dan sudah tiada apa selepas mati. Mereka dipanggil sebagai golongan materialis atau fahaman kebendaan.

Sebahagian orang Islam juga termasuk dalam golongan tersebut. Secara zahirnya Islam namun tiada keyakinan terhadap hari kiamat, syurga dan neraka. Antara sebab Nabi S.A.W menyuruh kita agar sentiasa membaca surah al-Kahfi adalah untuk membetulkan kompas kehidupan kita. Ramai mana yang meninggalkan agama disebabkan oleh kebendaan. Contohnya, menukar agama kerana ingin berkahwin dengan orang bukan-Islam.

Ada kes di mana seorang perempuan bertudung tetapi memakai rantai salib. Dia memeluk agama Kristian secara diam-diam. Ada gerakan Kristian pernah berlaku di Afrika. Tok imam berjaya dikristiankan. Dia diajar agar niatnya itu terhadap Tuhan Kristian dan Nabi Isa. Dia memakai rantai salib di lehernya. Malaysia antara sasaran utama Kristianisasi di Asia Tenggara.

Gerakan ini sudah berjaya di Filipina, Indonesia, Sabah cuma belum berjaya menguasai Malaysia sehingga ke hari ini, tetapi gerakan itu berjalan dan duit pun selalu masuk. Inilah WCC atau World Council of Churches yang mengatur gerakan ‘missionary’ di seluruh dunia. Ada yang menjadi ‘missionary’ Kristian yang berdakwah Kristian kepada orang-orang Swahili di Afrika. Rakyat di sana majoritinya Islam.

Macam kita orang Melayu ada tulisannya tersendiri iaitu jawi yang diambil daripada al-Quran, ditambah huruf ‘nga’ juga huruf ‘cha’ dan ‘nya’. Urdu juga ada tulisan dengan huruf Arab. India, Tanah Melayu dan Afrika ada tulisan tersendiri disebabkan oleh sampainya ajaran al-Quran.

Oleh itu, kita perlu meningkatkan kefahaman kita terhadap agama. Jangan semata-mata hanya mengikut tanpa faham. Di Indonesia, Christmas dipanggil sebagai Maulud Nabi Isa. Bible yang diterjemah dibukukan menjadi sebuah buku yang bertajuk ‘al-Kitab’, jadi orang akan keliru sebab ingatkan al-Quran. Inilah antara sebab mengapa negara kita melarang penggunaan kalimah Allah sebab ia akan mengelirukan kita. Jadi, kita perlu berhati-hati dengan perancangan musuh dan mengenali dunia moden pada hari ini.

Ada paderi besar Kristian dari Kalimantan datang ke England untuk belajar mengenai pengajian Islam sebab nak memahami Islam supaya mudah untuk berdakwah. Kita masih leka sedangkan musuh sentiasa bergerak untuk merosakkan kita. Mula-mula mereka mempengaruhi fikiran kita untuk menjadi liberal atau bersifat terlalu terbuka sehingga menganggap semua agama adalah sama asal kita menjadi baik. Akhirnya, kita hilang sensitiviti atau ghirah yang bermaksud cemburu terhadap agama.

Kuliah Kuliah Pagi Jumaat disampaikan Yang di-Pertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar Diraja Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Jumaat, 27 Oktober 2023 di Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan.

Rujukan:

[1] Rujuk tafsir Ma’alim al-Tanzil oleh Imam Al-Baghawi ketika mentafsirkan ayat ke-39 daripada Surah An-Naml.
[2] Dalam bukunya yang diterjemahkan ke Bahasa Inggeris dengan tajuk “The Bible, the Qur’an and Science: The holy scriptures examined in the light of modern knowledge” yang diterbitkan pada tahun 1976.
[3]Rujuk Asbab An-Nuzul oleh Imam Al-Wahidiy, jilid 1, m/s 190.