NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perundangan syariah wajar direformasikan, kata Mujahid



KUALA LUMPUR – Satu reformasi menyeluruh berkaitan perundangan syariah perlu dibuat bagi membaiki institusi mahkamah dan perundangan syariah di negara ini.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, reformasi itu perlu dilakukan berikutan pelbagai pihak mula mencabar perundangan syariah termasuk dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, dengan beberapa isu berkaitan pihak yang mencabar perundangan syariah, reformasi itu sepatutnya menyemarakkan lagi azam untuk memperbaiki institusi mahkamah dan perundangan syariah daripada semua aspek dan bukan mempolitikannya.

Malah katanya, langkah itu wajar dibuat secara objektif dan kolektif dengan memastikan tiada kelompongan atau locona (jurang) dalam perundangan syariah agar tiada pihak yang boleh mengambil kesempatan.

“Reformasi menyeluruh perundangan syariah perlu digerakkan. Saya tegaskan di sini, mempertahankan perundangan syariah perlu dibuat secara objektif dan kolektif. Ia bukan soal ‘syariah dicabar’ untuk dipolitikan tetapi bagaimana kita bertindak untuk memperkukuhkan peruntukan syariah yang ada supaya tiada lagi kelompongan,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Ahli Dewan Negara itu turut mempersoalkan pihak tertentu yang dilihat mempolitikan isu berkenaan walhal individu yang mencabar 20 peruntukan dalam enakmen tersebut bermula dengan notis usul yang difailkan pada 25 Mei tahun lalu dan kemudian petisyen kes difailkan pada 13 Oktober pada tahun sama.

Katanya, sepanjang proses yang berlangsung dari Mei hingga Oktober 2022 itu, tiada langsung bantahan dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menyelamatkan undang-undang syariah.

“Anehnya, barulah kedengaran Pas melalui Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membangkitkan isu ini pada Rabu lalu.

“Beliau (Tuan Ibrahim) menganggap sebagai suatu yang serius untuk mencabar Mahkamah Syariah dan akan mengadakan siri perhimpunan untuk menyahut seruan gerakan ‘selamatkan syariah’.

“Saya khuatir isu seperti RUU 355 yang pernah dipolitikan suatu ketika dahulu akan berulang di mana umat Islam dan negara diheret kepada satu kancah pertikaian yang asalnya adalah soal perundangan dan kuasa-kuasa peruntukkan,” katanya lagi.

Rabu lalu, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, PN akan menganjurkan siri perhimpunan bagi membantah petisyen dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Jelas Tuan Ibrahim, perhimpunan tersebut akan diadakan pada 16 November di Terengganu, diikuti 18 November di Kelantan dan perhimpunan munajat pada pagi 20 November di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mencabar peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dibuat oleh terhadap Kerajaan Kelantan, tahun lalu.

Dua individu tersebut mendakwa, 20 peruntukan yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan yang sama.

Kedua-duanya berpendirian, kuasa untuk menggubal undang-undang melibatkan perkara jenayah adalah di bawah bidang kuasa Parlimen manakala DUN hanya diberi hak untuk menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.

Mereka mahu mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah. – MalaysiaGazette





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo