Equinix Inc disenaraikan di Nasdaq.
Equinix Inc disenaraikan di Nasdaq.

KUALA LUMPUR: Syarikat infrastruktur digital yang tersenarai di Nasdaq, Equinix Inc melabur sejumlah AS$140 juta (RM650 juta) untuk membina dua pusat data International Business Exchange (IBX) baharu terletak di Cyberjaya dan Nusajaya Johor.

Naib Presiden Pembangunan Korporat Equinix Asia Pasifik, Cyrus Adaggra, berkata Malaysia akan menjadi pasaran penting untuk Equinix pada skala global dan syarikat komited untuk meneruskan pelaburan dan pengembangannya di negara ini.

"Apabila kita memasuki pasaran, kita tidak keluar. Dalam sejarah selama 25 tahun, kami tidak pernah menghentikan operasi, kecuali atas sebab peraturan.

"Saya memuji pendekatan kerajaan, yang memfokuskan bukan sahaja kepada membawa masuk pusat data tetapi juga memanfaatkan kami untuk menggalakkan pembangunan ekonomi digital.

"Selain itu, syarikat merancang untuk memperluas ekosistemnya dan menggalakkan pelanggan multinasional kami, berjumlah lebih 10,000, untuk mewujudkan operasi di Malaysia dan menawarkan perkhidmatan mereka kepada penduduk tempatan," katanya pada sesi meja bulat media hari ini.

Sementara itu, Equinix mengumumkan pelantikan Cheam Tat Inn sebagai Pengarah Urusan Equinix Malaysia, berkuat kuasa serta-merta.

"Cheam akan mengetuai strategi pengembangan dan pertumbuhan Equinix di Malaysia. Beliau akan melapor kepada Presiden Equinix Asia Pasifik, Jeremy Deutsch.

"Cheam akan membawa pengalaman dalam industri teknologi maklumat selama lebih tiga dekad, selain memegang jawatan kepimpinan utama di syarikat teknologi terkemuka," menurut syarikat itu dalam kenyataan berasingan.

-BERNAMA