Dewan Negeri Selangor
Dewan Negeri Selangor

SHAH ALAM: Seramai 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang bertindak keluar daripada dewan sebagai tanda protes terhadap keputusan dewan berhubung pemilihan ahli beberapa Jawatankuasa Pilihan Dewan Negeri Selangor.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ADUN Perikatan Nasional (PN) merasa kesal dengan tindakan Speaker DUN, Lau Weng San yang langsung tidak peduli semangat persefahaman, cuba diwujudkan pihak pembangkang bagi memastikan sidang dewan berjalan lancar.

"Dalam menentukan keanggotaan setiap jawatankuasa ini, kami telah meneliti latar belakang, kemahiran, pengalaman Ahli Dewan PN supaya mereka dapat memainkan peranan yang lebih efektif dalam jawatankuasa pilihan.

"Mengapa Speaker nak menentukan wakil daripada PN. Apakah Speaker hendak menutup mulut wakil daripada PN untuk berbincang dalam jawatankuasa yang telah ditetapkan?" katanya pada sidang media Lobi Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, beliau telah ambil inisiatif bersama ADUN Sungai Ramal untuk mengadakan perbincangan dengan Speaker lebih awal sebelum sidang DUN bermula supaya ada persefahaman dan Speaker bersetuju pihak keraajan diwakili oleh empat ahli dan pembangkang tiga ahli.

"Sebab itu apabila kita diminta untuk kemukakan nama ahli-ahli daripada PN, kita kemukakan tiga nama yang kita serahkan kepada Speaker untuk setiap jawatankuasa tetapi apabila dibentangkan oleh Menteri Besar, beberapa nama telah ditukar," katanya.

Terdahulu, pada sesi pembentangan usul pelantikan ahli jawatankuasa dewan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bertukar kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara ADUN termasuk Mohamed Azmin.

Mohamed Azmin kemudian bertindak mengoyak kertas senarai nama bagi pelantikan Ahli Jawatankuasa berkenaan sebelum keluar daripada dewan bersama ADUN pembangkang yang lain.

10 usul pelantikan Ahli Jawatankuasa diluluskan iaitu Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan; Ahli Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT); Ahli Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT); Ahli Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS); Ahli Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Tetap; Ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT).

Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Dewan; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Perubahan Iklim, Kebajikan, Kesihatan, Pendidikan, Pembangunan Keluarga, Agama dan Wanita serta Kesejahteraan Hidup (JPK-SEJAHTERA) dan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Air, Pertanian, Infrastruktur dan Mobiliti (JPK-INFRAGO).

Pada sidang media berasingan, Weng San berkata penubuhan kedua-dua jawatankuasa pilihan dan pilihan khas itu akan berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan negeri.

"Sebanyak 10 Jawatankuasa Pilihan dan Jawatankuasa Pilihan Khas sangat penting untuk Dewan Negeri menjalankan pemantauan terhadap kerajaan negeri. Ia juga tanda mercu kematangan Dewan Negeri Selangor dalam membawa isu rakyat dan meningkatkan proses demokrasi," katanya.

Mengulas mengenai pemilihan ahli jawatankuasa pilihan, beliau berkata pihaknya boleh menerima cadangan daripada sesiapa mahupun pembangkang atau kerajaan, bagaimanapun, keputusan akhir tertakluk kepada kuasa Speaker.

"Isu yang dibangkitkan pembangkang kenapa nama ditukar kerana ada sesetengah ADUN diletakkan (menganggotai) lebih dua jawatakuasa pilihan. Jadi yang lebih kita kurangkan dan kita gantikan, mereka tetap dari blok sama," katanya.