Pakar pengangkutan Rosli Khan berkata, permintaan di Johor Bahru mungkin tidak cukup tinggi untuk mewajarkan kos tinggi pelaksanaan sistem LRT. |
PETALING JAYA: Seorang pakar pengangkutan bercanggah pendapat dengan kumpulan perniagaan dan seorang ahli ekonomi berhubung cadangan melaksanakan sistem LRT di Johor Bahru.
Rosli Khan mempersoalkan kesesuaian dan keberkesanannya dari segi kos, memandangkan permintaan terhadapnya lebih rendah di bandar itu, dengan populasinya hanya seramai 500,000.
“LRT itu mahal untuk dibina, dengan jajaran agak tegar, laluan yang tetap dan memerlukan sokongan untuk capaian batu pertama dan terakhir. Memandangkan (laluannya) sering tinggi, akses penumpang lemah.
“Johor Bahru mungkin tidak mempunyai jumlah permintaan yang mewajarkan kos terlalu tinggi bagi sistem LRT,” katanya kepada FMT.
Rosli berkata, trem berkuasa hidrogen mungkin lebih baik untuk bandar itu, seperti yang digunakan dalam sistem transit aliran autonomi (ART) di Kuching, kerana kosny untuk diperoleh dan dikendalikan lebih rendah.
“ART boleh menampung 200 hingga 300 orang bagi setiap kenderaan di setiap arah. Jika ia berjalan setiap lima minit, maka (ia akan membuat) 12 perjalanan (dalam) sejam. Oleh itu, kapasitinya kira-kira 2,400 hingga 3,600 orang sejam. Sesuai untuk Johor Bahru,” katanya.
Rosli berkata demikian mengulas cadangan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Noorazam Osman agar sistem LRT dilaksanakan di bandar itu.
Kesesakan lalu lintas di Johor Bahru bertambah buruk sejak pembinaan Sistem Transit Pantas (RTS) baharu yang menghubungkan bandar raya itu ke Singapura melalui kereta api.
Noorazam berkata, terdapat keperluan mendesak agar pengangkutan awam ditambah baik untuk menyokong pautan RTS, yang dijangka menggerakkan kira-kira 10,000 pengguna sejam bagi setiap arah.
Sebaliknya, ahli ekonomi Niaz Asadullah daripada Universiti Monash berkata, sistem LRT lebih sesuai kerana beliau menjangkakan peningkatan dalam pertukaran perniagaan rentas sempadan dan peningkatan lalu lintas di jalan raya apabila zon ekonomi khas (SEZ) Johor-Singapura direalisasikan.
“Untuk Johor Bahru berkembang maju seiring Singapura yang pesat dari segi ekonomi, ia perlu sepadan dengan negara kota itu dari segi infrastruktur awam.
“Jadi perlu ada penekanan terhadap pelaburan awal dalam sistem pengangkutan awam gaya Singapura,” katanya.
Niaz juga berkata, sistem LRT akan mengurangkan kos ekonomi berkaitan dengan kesesakan, terutamanya bagi pemilik PKS dan pekerja bergaji rendah.
“Dengan memendekkan masa pengangkutan awam, projek LRT juga akan menarik lebih ramai golongan B40 dan pekerja asing tidak berkereta memasuki pasaran buruh serta membantu meningkatkan tahap pekerjaan,” katanya.
Presiden pengasas Persatuan PKS Johor Selatan Teh Kee Sin berkata, sistem LRT sepatutnya menjadi sebahagian daripada pelan induk Iskandar Malaysia yang diperkenalkan pada 2007.
Teh berkata, Iskandar Malaysia disasarkan terhadap perniagaan dalam industri berteknologi tinggi, tetapi kelemahan pengangkutan awam untuk mengakses kawasan itu menyekat pembangunannya.
“Lima belas tahun kemudian, kita sebenarnya tidak nampak banyak (perniagaan) menarik membangun di Iskandar Malaysia, terutamanya di kawasan Nusajaya,” katanya.
“Hal ini kerana tanpa kenderaan sendiri, kawasan itu tidak dapat diakses dengan mudah. (Masa perjalanan) pengangkutan awam – contohnya, bas – sangat sukar diramal.”
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment