NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Blok Ambalat: Perkembangan terkini tuntutan Indonesia




KUALA LUMPUR: Isu tuntutan blok Ambalat oleh Indonesia dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli kepada Menteri Luar Negeri pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Wan Hassan dalam soalannya meminta Menteri Luar Negeri menyatakan perkembangan terkini berkaitan isu tuntutan di Blok Ambalat yang kaya dengan minyak mentah dan gas asli oleh Indonesia.

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengemukakan soalan berhubung perkara itu.

Dalam soalannya, beliau meminta Menteri Luar Negeri menyatakan butiran spesifik mengenai perjanjian persempadanan maritim yang ditandatangan oleh Perdana Menteri pada Jun lalu sempena lawatan kerja Presiden Indonesia ke Malaysia.

Beliau turut bertanya apakah respons kerajaan terhadap kesediaan Indonesia untuk meneroka kawasan perairan Ambalat seperti yang dilaporkan oleh media asing.

Soalan daripada ahli-ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan hari ini sebagaimana di bawah.

Waktu Pertanyaan Menteri

Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan akta sedia ada yang mampu dikuatkuasakan kepada negara jiran akibat tindakan mereka yang memberi kesan negatif kepada rakyat Malaysia dalam isu jerebu yang diakibatkan oleh pembakaran terbuka di bahagian Sumatera.

Pertanyaan Bagi Jawab Lisan

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian]minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan tidak berhasrat untuk meningkatkan lagi keupayaan JAKIM dengan menambah kakitangan yang berkepakaran, kemudahan serta teknologi terkini dalam mengesan bahan yang digunakan dalam setiap bahan yang diselidiki setelah Persijilan Halal Malaysia telah diterima di peringkat antarabangsa.

Tuan Jamaludin bin Yahya [Pasir Salak] minta Menteri Pertahanan menyatakan:

(a) status terkini pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) milik TLDM yang telah terbengkalai sejak sekian lama di Boustead Naval Shipyard, Lumut ; dan

(b) adakah kerja-kerja pembinaan semula telah mula dijalankan dan bilakah kapal pertama dijangka akan diserahkan kepada TLDM.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Perdana Menteri menyatakan garis panduan yang telah ditetapkan bagi penubuhan tabung- tabung bencana bagi memastikan dana daripada tabung-tabung ini tidak disalah guna, dan adakah tabung bencana seperti Tabung Bencana NSTP- Media Prima diaudit oleh pihak-pihak tertentu bagi memastikan kelancaran agihan seperti yang diharapkan oleh para penderma.

Tuan Zakri bin Hassan [Kangar] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan penjelasan mengapakah bekalan gula bukan premium amat berkurang di Perlis. Adakah hal ini disebabkan penutupan kilang gula Chuping menyebabkan bekalan gula bukan premium tiada di negeri ini.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan perkembangan proses kerja-kerja naik taraf Mini Stadium Pasir Mas seperti yang telah diluluskan oleh Kerajaan terdahulu.

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan bentuk pemantauan atau kawalan yang dibuat pihak berkuasa tempatan (PBT) ke atas isu lambakan warga asing yang menjalankan perniagaan di premis atau menjadi penjaja serta dilihat menguasai ekonomi setempat.

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan:

(a) bilakah Starlink diberikan lesen Network Service Provider (NSP) dan lesen Network Facility Provider (NFP) dari SKMM; dan

(b) syarikat manakah yang mendapat kontrak pemasangan dan bilakah  tender  dilaksanakan dan mengapa perkhidmatan MEASAT ConnectMe Now yang sedia ada tidak digunakan.

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Menteri Luar Negeri menyatakan sama ada Kerajaan telah melaksanakan sebarang kajian secara mendalam dan mempunyai dasar dan hala tuju jelas untuk menyertai atau tidak menyertai pakatan BRICS dengan mengambil kira kesan terhadap hubungan diplomatik dengan negara-negara bukan BRICS.

Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan tindakan pihak Kementerian dalam membanteras impak daripada kewujudan aplikasi songsang dalam talian yang sehingga kini dikesan sebanyak 11 aplikasi telah wujud sehingga memudahkan golongan LGBT melakukan aktiviti mereka terutama yang melibatkan kalangan remaja dan memberi kesan buruk kepada keluarga mereka.

Dato’ Azman bin Nasrudin [Padang Serai] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan isu rumah-rumah rosak di taman perumahan yang memerlukan bantuan pembaikan. Dimaklumkan KPKT menyediakan peruntukan untuk membaiki rumah- rumah yang rosak dan dianggarkan menyediakan jumlah pembaikan sebuah rumah sehingga RM13,000. Adakah KPKT bercadang untuk menambah jumlah peruntukan memandangkan kos yang semakin meningkat dan berapa lamakah proses permohonan sesebuah rumah untuk pembaikan.

Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa] minta Perdana Menteri menyatakan cadangan untuk mewujudkan undang-undang yang menghalang apa-apa perhimpunan, program terbuka atau tertutup, program berbentuk hiburan dan badan NGO yang mempromosikan LGBT.

Tuan Kalam bin Salan [Sabak Bernam] minta Perdana Menteri menyatakan garis masa, cabaran, pelaksanaan dan cadangan bagi mengatasi sebarang kelengahan pengubalan Akta Kebebasan

Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Perdana Menteri menyatakan langkah berkenaan gesaan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bagi pembentukan jawatankuasa khas kajian yang terdiri daripada golongan pakar dan pengamal undang-undang yang berkelayakan.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [Kuala Kedah] minta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran berasaskan ruang lingkup STEM di Sekolah-sekolah Agama Rendah dan Menengah.

Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [Kubang Pasu] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan sebab-sebab 70% daripada 6361 calon yang ditawarkan kemasukkan ke Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) menolak melanjutkan pelajaran dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Juga apakah tindakan Kerajaan bagi menangani isu ini.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan penjelasan berkaitan trend permohonan pertukaran status tanah daripada pertanian kepada pembangunan yang sangat memberi kesan kepada industri pertanian sekali gus memberi impak negatif kepada keterjaminan makanan negara. Mengikut pemantauan pihak berkuasa tempatan dan PLANMalaysia, sehingga hari ini, berapa statistik tanah pertanian seperti sawah padi, tanaman kontan serta tanah kelapa sawit yang telah ditukar status kepada pembangunan.

Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyemak dan menyeragamkan akta-akta Parlimen yang berkaitan dengan pemilikan dan pembangunan sumber hidrokarbon, khususnya terhadap tafsiran hak negeri, sempadan luar pesisir (offshore) bagi negeri yang berhadapan dengan medan pengeluaran minyak, serta ketelusan pengiraan dan pembayaran royalti kepada negeri pengeluar minyak.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing]minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan pendirian Kerajaan terhadap cadangan untuk melaksanakan pengurusan Sisa Buangan Kepada Tenaga (WTE) yang berpotensi mengurangkan kadar pelupusan sampah di Malaysia.

Dato’ Sri Saifuddin Abdullah [Indera Mahkota] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan sejauh manakah kedudukan daya saing Malaysia dalam perlumbaan teknologi digital dunia pada hari ini dan apakah fasilitasi yang disediakan oleh Kerajaan kepada bakat dan teknologis tempatan, termasuk melahirkan ikon-ikon teknologi digital yang bertaraf dunia.

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan bilangan projek perumahan yang lewat siap bagi tempoh 2018-2022:

(a) berapa bilangan pembeli yang dibayar ganti rugi LAD; dan

(b) berapa peratus kes yang dibawa ke Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) berjaya diselesaikan.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Perdana Menteri menyatakan sama ada Kerajaan Persekutuan akan menubuhkan Pejabat Belanjawan Parlimen (PBO) yang menyediakan khidmat bebas secara objektif kepada semua ahli Parlimen merentasi parti berkenaan anggaran implikasi kewangan atau kos, dasar dan cadangan dasar mereka seperti tertera dalam Manifesto Pakatan Harapan sebelum ini.

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan peranan dan usaha Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) terhadap kartel dan monopoli dalam sektor makanan dan pertanian, termasuk tindakan yang telah diambil dan adakah Kerajaan membuat pindaan terhadap Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010.

Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [Larut] minta Perdana Menteri menyatakan:

(a) mengapa setelah lebih 10 bulan Kerajaan PH-BN memerintah, pelaku skandal Kapal LCS TLDM masih juga belum didakwa walaupun siasatan PAC dan SPRM jelas memperlihatkan berlaku pelanggaran tatakelola serta penyelewengan; dan

(b) bukti apakah lagi yang Kerajaan PH-BN perlukan bagi membolehkan pelaku utama disebalik skandal ini dihadapkan ke mahkamah.

Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Menteri Luar Negeri menyatakan butiran spesifik mengenai perjanjian persempadanan maritim yang di tandatangan oleh YAB Perdana Menteri pada bulan Jun 2023 sempena lawatan kerja Presiden Indonesia ke Malaysia, serta apakah respons Kerajaan terhadap kesediaan Indonesia untuk meneroka kawasan perairan Ambalat seperti yang dilaporkan oleh media asing.

Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Luar Negeri menyatakan perkembangan terkini berkaitan isu tuntutan di Blok Ambalat yang kaya dengan minyak mentah dan gas asli oleh Indonesia.

Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Pertahanan menyatakan rancangan jangka masa pendek dan panjang pihak Kerajaan Persekutuan kepada langkah penyelesaian penjualan aset di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) iaitu Boustead Plantations Berhad serta aset lain jika ada.

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Beluran] minta Menteri Luar Negeri menyatakan berdasarkan temu bual YAB. Perdana Menteri bersama CNN pada 23 September 2023, apakah jaminan yang diberikan oleh Premier China, Li Qiang dalam pertikaian sempadan Laut China Selatan dalam menyelesaikan isu pertikaian ini dan apakah bentuk rundingan atau tuntutan oleh pihak China bagi membolehkan mereka menyelesaikan isu pertikaian ini dengan segera. – HARAKAHDAILY 12/10/2023



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo