NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pecat saya! Isham beritahu Zahid

Isham Jalil berkata akar umbi rasa seolah dipaksa Presiden Umno Zahid Hamidi dan kepimpinan parti untuk menyokong PH yang disertai DAP.


PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Isham Jalil berkata Zahid Hamidi boleh memecatnya, jika itu “harga harus dibayar” kerana menegur Umno.

“Datuk Seri (Zahid) boleh pecat saya dan rakan-rakan saya dari jawatan dan keahlian jika itu keputusan dan kemahuan Datuk Seri tetapi Datuk Seri tidak boleh pecat semangat dan roh perjuangan saya dan akar umbi,” katanya.

Isham berkata demikian menjawab kritikan Zahid terhadapnya, bahawa beliau tidak boleh memaksa semua orang bersetuju dengan cadangan supaya Umno dan Barisan Nasional (BN) bertanding solo dalam pilihan raya tanpa Paktan Harapan (PH) khususnya DAP.

Beliau mendakwa, akar umbi rasa seolah dipaksa presiden Umno dan kepimpinan parti untuk mengundi PH yang disertai DAP.

Katanya, disebabkan rasa dipaksa oleh Zahid dan pimpinan Umno menerima PH-DAP, ramai ahli parti itu melakukan protes dengan tidak keluar mengundi atau mengundi Perikatan Nasional (PN) dalam PRN enam negeri dan PRK lalu.

“Mereka menolak paksaan ini. Sebab itu, dalam pilihan raya baru-baru ini rata-rata akar umbi kita protes dengan tidak keluar mengundi atau mereka kalih dan mengundi PN. Dalam keadaan ini, PH dan DAP mendapat untung kerana mereka mendapat jentera kita dan berjaya menjinakkan kita.

“PN juga mendapat untung kerana mendapat undi orang Melayu dan akar umbi kita yang tidak mahu dipaksa untuk mengundi atau bekerjasama dengan PH dan DAP. Oleh itu dalam situasi sekarang PH dan PN yang untung dan kita yang rugi,” katanya di Facebook.

Sambil mempertahankan kritikan terbuka terhadap Umno demi kebaikan dan ia dibenar perlembagaan parti, Isham berkata ramai akar umbi memaklumkan kepadanya mereka sayangkan Umno tetapi tidak setuju dan tidak sanggup melihat ia lari daripada perjuangan asal.

“Memaksa mereka mengundi PH dan DAP sama seperti memaksa menerima ‘Malaysian Malaysia’ iaitu perjuangan DAP untuk ‘kesamarataan’ yakni menghapuskan hak orang Melayu. Ini bertentangan dengan perjuangan asas Umno iaitu mempertahankan hak orang Melayu,” katanya.

Katanya, jika Umno tidak berubah dan keadaan itu berterusan ia akan kalah di semua kerusi sedia ada pada pilihan raya akan datang.

“Jika kepimpinan boleh mengkritik ahli secara terbuka, tidak masuk akal jika ahli tidak boleh. Umno bukanlah parti komunis. Tambahan lagi jika pandangan tersebut bersifat kegusaran tentang hala tuju parti.

“Saya tidak paksa sesiapa terima pandangan saya, namun saya gusar jika kita kekal tidak berubah, parti kita akan rebah dan pada mesyuarat MKT sebelum ini iaitu sebelum pilihan raya enam negeri, saya telah mengangkat tangan banyak kali untuk melontar pandangan tetapi tidak dibenar bercakap.

“Apabila orang lain semua habis memberikan pandangan dan tiba giliran saya untuk bersuara, Datuk Seri (Zahid) menamatkan mesyuarat dan tidak memberi peluang untuk saya bercakap dengan alasan hari sudah lewat padahal baru pukul 11 malam,” dakwanya.


Sumber I FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo