Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata keputusan serahan balik aset itu diambil susulan pengurusan TH kini sudah pulih dan diurus baik. |
KUALA LUMPUR: Aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang diserahkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) akan dikembalikan semula, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, keputusan itu diambil berikutan pengurusan lembaga tersebut kini sudah pulih dan diuruskan dengan baik.
“Saya teliti perkembangan, saya beritahu daripada awal bila ambil alih jawatan ini, sebaik TH diurus baik dan meyakinkan, tahniah kepada rakan-rakan maka Kementerian Kewangan akan memulakan perbincangan untuk serahkan semua aset yang kini diamanahkan kepada SPV.
“Bila saya teliti keyakinan awam, pengurusan cekap, berintegriti, dan diyakini tiada sebab Kementerian Kewangan tak dapat bincang dan serah semula supaya aset dipegang akan diserah semula kepada TH,” kata Anwar yang juga menteri kewangan ketika berucap di Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-60 TH di bangunan TH.
Pada 11 Dis 2018, TH mengumumkan pemindahan aset tidak menguntungkan hampir RM19.9 bilion kepada SPV bagi memantapkan semula kedudukan kewangannya.
Pada April 2019, Mujahid Yusof Rawa ketika menjadi menteri bertanggungjawab ke atas TH, berkata aset TH tersebut dipindahkan kepada SPV, Urus Harta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) bertujuan menutup jurang defisit agensi itu.
Beliau menjelas perkara itu susulan dakwaan kononnya SPV diurus bukan Islam sehingga menimbulkan polemik.
Anwar ketika mengulas lanjut, berkata keseluruhan aset diserah TH kepada SPV akan dipulangkan semula dengan inisiatif itu sedang berjalan.
“Ya, semua aset. Dah mula, saya dah arah dah mula berbincang mungkin ambil secara berperingkat memastikan pulangan itu baik.
“Nilai semasa ada, tapi sedang bincang tak boleh umum selagi belum selesaikan,” katanya kepada pemberita.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment