NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hafizuddeain Jantan panglima tentera darat baharu

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dilantik sebagai panglima tentera darat yang ke-30 berkuatkuasa hari ini.

Hafizuddeain, 55, turut dinaikkan pangkat sebagai jeneral dan mengambil alih jawatan nombor satu tentera darat daripada Jen Mohammad Ab Rahman.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas disempurnakan Menteri Pertahanan Mohamad Hasan di Wisma Pertahanan.

Hafizuddeain, 55, yang dilahirkan di Segamat, Johor pada 18 April 1968, sebelum ini dilantik sebagai timbalan panglima pada 23 Mac tahun ini.

Mendapat pendidikan menengah dari Maktab Tentera Diraja pada 1985, Hafizuddeain memulakan khidmat pada 19 Ogos 1986 sebagai pegawai kadet sebelum ditauliahkan sebagai leftenan muda dalam kor Rejimen Askar Melayu Diraja dua tahun kemudian.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu memiliki pengalaman yang cukup luas kerana memegang pelbagai jawatan penting di peringkat tentera darat dan Kementerian Pertahanan (Kementah) sebagai pemerintah, staf, dan jurulatih.

Sepanjang perkhidmatan, beliau menghadiri pelbagai kursus antaranya diploma sains pengurusan di Institut Tadbiran Awam Negara, sarjana sains sosial (pengajian pertahanan) di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera, sarjana pengurusan di Filipina, dan kursus pegawai infantri peringkat tinggi di Amerika Syarikat dan Kolej Pengajian Pertahanan Diraja di United Kingdom.

Antara jawatan penting yang pernah disandang ialah pegawai memerintah di Batalion Keempat RAMD (2003-2005), panglima Briged Kelima Infantri (2018-2020), dan panglima Medan Barat Tentera Darat (2021-2023).

Beliau juga pernah dilantik sebagai ketua staf di Markas Briged Kelapan Infantri (2009-2010), ketua penolong setiausaha di Bahagian Dasar Kementah (2014-2016), dan ketua staf di Markas Divisyen Ketiga Infantri (2016-2017).

( Hide )
  1. Ada benda "," kalau diletak pada tempat yang betul akan memudahkan pembaca membaca tajuknya dengan betul.

    ReplyDelete

© all rights reserved
made with by templateszoo