Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Datuk Nur Jazlan Mohamed.

JOHOR BAHRU: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dinasihatkan tidak gundah gulana kononnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi liabiliti kepada Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, hakikat perlu diterima bahawa imej Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri itu sudah lama dirosakkan oleh naratif penuh persepsi yang dibawa pembangkang.

"Lagipun saya percaya rakyat Pulai sudah buat keputusan mereka sebelum kes Zahid ini muncul Isnin lepas," katanya melalui satu muat naik di Facebook, hari ini.

Muat naik itu merujuk kenyataan Loke yang yang meminta Peguam Negara memberikan penjelasan terbuka susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO Hamidi daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapinya.

Setiausaha Agung DAP itu berkata penjelasan berkenaan penting mengambil kira pandangan pelbagai pihak terhadap keputusan itu.

Dalam pada itu, Nur Jazlan turut menasihatkan rakan parti gabungan Kerajaan Perpaduan menjaga sensitiviti sesama mereka bagi memastikan kerjasama politik berkenaan dapat bertahan dan utuh sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Beliau juga meminta pemimpin parti gabungan Kerajaan Perpaduan tidak sewenang-wenang membuat kenyataan terbuka yang menyebabkan kesan bukan sahaja terhadap hubungan antara parti gabungan, malah kepada akar umbi.

Ini kerana beliau berkata pada 2018 ketika kes membabitkan bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng digugurkan tuduhan atas permintaan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thoms, Loke tidak pula meminta penjelasan.

"Dalam kes Guan Eng sebelum ini, saya ada buat carian di internet kalau-kalau ada kenyataan daripada Loke atau mana-mana pemimpin PH masa itu yang minta Peguam Negara beri penjelasan apabila Jabatan Peguam Negara bertindak buat permohonan untuk gugurkan tuduhan itu yang juga sudah menjalani perbicaraan kes yang lama.

"Jenuh saya cari tapi tak jumpa. Cuma sebagai seorang kawan, saya nak kongsi nasihat kepada Loke macam yang dia selalu juga cakap - kita berkawan dalam Kerajaan Perpaduan, jadi seeloknya perkara-perkara sensitif yang babitkan kawan-kawan kita kenalah bincang sesama kita saja.

"Bukannya kita bercakap secara terbuka sampai orang lain pun boleh tumpang sekaki kutuk kawan kita," katanya.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata beliau sedar Loke mungkin bimbang mengenai perkembangan terbaharu kes Ahmad Zahid akan menjejaskan undi calon PH di PRK Parlimen Pulai pada Sabtu ini.

Namun beliau berkata, daripada pengamatannya selepas Guan Eng didakwa sehingga kes itu digugurkan pertuduhan, beliau melihat undi kaum Cina kepada PH terutamanya DAP tidak menurun, malah bertambah dengan luar biasa pada PRU15 lalu.

"Pokok pangkalnya orang Cina di Pulai tak akan terjejas sokongan mereka kepada PH walaupun calon AMANAH yang bertanding di kerusi ini. Sebagaimana orang Cina percayakan keadilan sistem kehakiman kita selepas kes Guan Eng digugurkan, saya percaya begitu juga keyakinan mereka masih sama dalam kes Zahid ini," katanya.

Nur Jazlan berkata, dalam tempoh beberapa hari terakhir ini sepatutnya Loke dan jentera DAP bekerja lebih kuat lagi untuk memastikan pengundi Cina di Parlimen Pulai keluar beramai-ramai mengundi dan memenangkan calon AMANAH.


- BH