KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak memerlukan peruntukan sebanyak RM8 bilion untuk menyelesaikan masalah air di negeri ini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, sebaliknya Kelantan hanya memerlukan sebuah lagi Loji Rawatan Air (LRA) membabitkan kos RM1.5 bilion.
"Pengeluaran air terawat oleh LRA sedia ada adalah sekitar 500 juta liter sehari. Permintaan harian air terawat di Kelantan adalah 600 juta liter sehari.
"Dengan satu tambahan baharu LRA yang insya-ALLAH akan diluluskan dan pengeluaran air akan menjadi sekitar 700 juta liter sehari," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh di Kampung Parit Limbat pada Sabtu.
Ketika diminta memperincikan permohonan RM8 bilion itu, Rafizi berkata, kerajaan negeri bercadang untuk membina lima LRA untuk menyelesaikan masalah air.
"Dalam mesyuarat kami dah tegur, kami tak nampak keperluan RM8 bilion ini kerana LRA sedia ada mampu keluarkan 500 juta liter air terawat sehari, kami sedia pertimbangkan satu lagi LRA dengan peruntukan RM1.5 bilion yang akan membawa kepada pengeluaran air terawat sebanyak 700 juta liter sehari," katanya.
Namun begitu, Rafizi berkata, peruntukan RM1.5 bilion untuk membina sebuah LRA baharu masih diperhalusi.
"Sekiranya diluluskan, RM1.5 bilion adalah tambahan kepada RM500 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan RM1 bilion oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini," katanya. - Bernama
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment