Laporan Sinar harian pada Isnin. - Gambar kecil: Ibrahim
Laporan Sinar harian pada Isnin. - Gambar kecil: Ibrahim

ALOR SETAR[DIKEMASKINI] Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) mengulangi pendirian bahawa Pulau Pinang adalah hak milik Kedah yang sah dari dulu sehingga kini.

Pengerusi PSMCK, Dr Ibrahim Bakar berkata, perkara itu amat jelas melalui aspek sejarah, malah Pulau Pinang sebenarnya tidak pernah terpisah dari Kedah.

"Bermula sejak 1786, berlaku pendudukan Pulau Pinang oleh Inggeris iaitu pendudukan haram (fasa pertama), pendudukan permaksaan (fasa kedua) dan perjanjian berat sebelah Seberang Perai (fasa ketiga). Sejak itulah, berlakunya pendudukan Pulau Pinang.

"Kita akui ada pajakan dan masih dibayar kepada Kedah sehingga kini. Kalau diandaikan pulau itu suatu barangan atau premis kedai, manakala barang itu yang kita pajak, Dan apabila orang masih bayar pajakan itu, maka pemiliknya yang sah tidak perlu dibincang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Katanya, terdapat pelbagai fakta menjelaskan tentang pendudukan Pulau Pinang termasuklah klaus perjanjian yang babitkan ketenteraan, untuk menjaga perairan Kedah.

Bagaimanapun, perjanjian itu bukan sahaja diabaikan British, malah berat sebelah kemudiannya. Kemudiannya, Pulau Pinang dan Seberang Perai dijadikan negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan walhal masih dibayar pajakan.

"Semasa Federal Constitution (Perlembagaan Persekutuan) dibuat, bayaran kepada Kedah tetap tidak diabaikan. Maknanya, isu ini dibincang tetapi hak Sultan Kedah terhadap Pulau Pinang diambil kira.

Tambah Ibrahim, Pulau Pinang sama sekali tidak pernah terpisah dari Kedah, sebaliknya hanya dipajak sahaja selepas kedatangan British.

"Secara analoginya, kedai saya disewa ataupun dipajak kepada pihak tertentu, jadi ia tetap milik saya apatah lagi bayaran berterusan dibayar kepada saya", katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, banyak perkara berkaitan isu Kedah-Pulau Pinang perlu diperjelaskan dan dikaji semula.

Menurut Ibrahim lagi, dari segi sejarahnya, Pulau Pinang tidak pernah terpisah dari Kedah namun isu Kedah-Pulau Pinang perlu dikaji semula dari segi perundangannya.