NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ulang tahun 77: UMNO sambut dengan kekalahan PRU-15, berkahwin dengan DAP



11 Mei 1946 merupakan tarikh kelahiran sebuah parti bernama UMNO (United Malay National Organisation) dan tahun ini dikatakan adalah sambutan ke-77 tahun parti orang Melayu tersebut.

Bagaimanapun, UMNO yang wujud sekarang bukanlah yang asal kerana ia sudah diharamkan pada 4 Februari 1988 dan didaftarkan dengan nama UMNO Baru pada 13 Februari 1988 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Secara faktanya, usia UMNO sebenarnya bukanlah 77 tahun tetapi adalah 35 tahun tetapi disebabkan mahu dianggap sebagai sebuah parti bersejarah maka setiap kali sambutan dibuat pada 11 Mei setiap tahun.

Tarikh kelahiran sebenar UMNO juga boleh dipersoalkan secara ilmiah dan adakah parti itu sekarang mempunyai roh sebenar yang sama dengan perjuangan pemimpin terdahulu.


Sambutan ulang tahun kali ini berbeza dengan terdahulu, UMNO kini diketahui umum bukan lagi sebuah parti gagah dan kuat.

Jika dahulu UMNO menjadi dominan dan menguasai pentas politik negara, namun sekarang mereka hanya sebuah parti kecil dan terpaksa menumpang dengan parti lain untuk membentuk kerajaan.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, UMNO tewas teruk dan hanya berjaya memenangi 25 kerusi, ia merupakan pencapaian terburuk dalam sejarah pernah dicatat parti tertua itu.

UMNO bernasib baik sekarang pun hanya disebabkan tidak ada mana-mana parti yang memiliki majoriti mudah dan mengambil keputusan untuk bersama Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk sebuah kerajaan campuran.

Secara teknikalnya, kedudukan UMNO dalam kerajaan campuran sekarang bukanlah dominan kerana ia bukanlah parti yang memiliki jumlah kerusi terbanyak tetapi masih diperlukan untuk membentuk sebuah kerajaan.

Walaupun kalah teruk pada PRU-15 lalu, nampaknya UMNO masih tidak belajar daripada kesilapan apabila masih mengekalkan pemimpin utamanya yang dilihat menjadi punca ia ditolak majoriti pengundi orang Melayu.

Jika suat ketika dahulu UMNO memiliki pengundi teras dikalangan kaum Melayu, senario tersebut sudah berubah pada PRU-15 apabila rakyat khususnya orang Melayu-Islam sudah celik politik dan boleh menilai baik atau buruk sesebuah parti itu.

Langkah UMNO mengekalkan Presiden mereka yang memiliki 47 pertuduhan di mahkamah, sementara Datuk Seri Najib Razak sedang meringkuk penjara bukanlah sesuatu yang baik untuk parti itu.

Melihat kepada perkembangan semasa, tidak hairan juga apabila terdapat pemerhati politik yang tidak menolak UMNO akan tinggal batu nisan pada PRU-16 sekiranya masih tidak mahu belajar daripada kesilapan dan mengekalkan budaya politik lama dengan sekadar menjadi pak turut.

Selepas diuji dengan kekalahan PRU-15 lalu, UMNO bakal berdepan satu lagi ujian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri tidak lama lagi.

Jika keputusan sama diulangi UMNO pada PRN enam negeri nanti, dijangkakan perubahan besar dalam parti itu akan berlaku dan tidak ditolak juga pergolakan dalaman parti yang akan lebih meruncing.

Berbeza dengan keadaan sebelum ini, UMNO juga akan menyambut ulang tahun mereka dengan perkahwinan politik baharu bersama dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH).

DAP diketahui umum adalah musuh tradisi UMNO sejak berdekad lamanya, bagaimanapun disebabkan terdesak untuk berada dalam sebuah kerajaan pusat maka terpaksa juga menelan pahit dan menjilat ludah sendiri.

Keputusan UMNO untuk berkahwin dengan DAP adalah sesuatu yang diluar jangka, namun gandingan cikgu dan anak murid berjaya melakukan apa sahaja yang mustahil demi nafsu politik masing-masing.

Cikgu dan anak murid saling memerlukan antara satu sama lain kerana cikgu begitu terdesak mahu menjadi Perdana Menteri, sementara anak murid pula terdesak mahu melepaskan diri daripada pertuduhan dihadapinya di mahkamah ketika ini.

Disebabkan itu, UMNO tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menerima DAP sebagai teman hidup baharu demi kelangsungan politik individu tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi.

Langkah UMNO menerima DAP sebagai teman hidup baharu bukan disebabkan untuk membela nasib dan kebajikan orang Melayu tetapi pertimbangan itu dibuat hanya semata-mata demi kuasa dan nafsu peribadi pemimpin mereka.

Hanya PH dan DAP sahaja dapat memuaskan permintaan dan telunjuk UMNO, bahkan boleh berkompromi antara satu sama lain asalkan kerajaan campuran yang dibentuk dapat kekal berkuasa.

Sudah semestinya sambutan ulang tahun ke-77 UMNO kali ini lebih manis dengan kehadiran teman hidup baharu, DAP bersama-sama disisi.


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo