PAS hari ini menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat permohonan maaf secara terbuka selepas menuduh PN menerima dana daripada syarikat judi pada awal Dis tahun lalu.
Ketua Penerangan PAS Pusat Khairil Nizam Khirudin berkata jawapan diberikan salah seorang anggota kabinet di Dewan Rakyat semalam membuktikan kerajaan "menipu."
"Lontaran tuduhan itu yang asalnya dibuat PMX (Anwar) selepas beberapa minggu menerajui kerajaan, melengkapkan lagi bukti pembohongan PMX," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 5 Dis 2022 semasa mengadakan sidang medianya, Anwar memberikan gambaran bahawa sebahagian dana pilihan raya PN disumbangkan oleh syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas.
"Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.
"Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi," katanya.
Ia mendorong PAS memberikan kata dua kepada Anwar sehari kemudian - sama ada mengemukakan bukti atas dakwaan tersebut atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata Anwar membuat tuduhan tidak berasas dan liar terhadap PN.
"Sekiranya gagal PN akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak-pihak yang memfitnah," katanya.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman memberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat mengesahkan dakwaan dibuat Anwar.
Kata Azalina SPRM telah menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan itu namun tiada pihak yang dapat memberikan pengesahan.
"Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini," katanya dalam jawapan bertulis parlimen bagi menjawab soalna Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Kata Khairil Nizam jawapan Azalina itu mengesahkan tiada pihak dapat mengesahkan dakwaan Anwar.
"Kami menggesa PMX memohon maaf secara terbuka atas fitnah dan penipuan yang dilemparkan kepada PN," katanya yang juga ahli parlimen Jerantut.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment