NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selepas menonton ‘Anwar’ saya boleh kata kesian....


Sekiranya saya diberi tugas untuk menggarap sebuah filem seputar hidup dan hayat politik Anwar Ibrahim, saya akan memilih genre muzikal. Ya, “Anwar The Musical”. Ini kerana lebih mudah menyanyikan kisah hidup seorang Anwar, dari menciptakan sebuah dunia nyata dengan genre biopik. Apatah lagi, genre biopik ditampilkan selalu dengan tujuan untuk melakukan pengkanunan atau pengkultusan seseorang tokoh. Ini jauh beda berbanding genre muzikal yang lebih bertujuan untuk meraikan.

Justeru pemilihan genre itu sudah amat penting sebelum memilih apa yang harus dikarang; apa yang harus didialogkan; apa yang harus didiam, dan hanya ditampil dengan sorot mata; apa yang harus di “shot”; apa yang harus disunting; apa yang harus diwarnakan; bahagian mana yang harus dibubuh irama belakang, bahagian mana pula yang dikembang; bahagian mana perlu digugurkan.

Kerja pengarahan harus dengan sepenuh hati. Seorang pengarah itu kerjanya menunjuk arah. Kalau pengarah tidak memesrai subjeknya, maka saat pengarah sesat dia akan membawa krew bersama-sama masuk hutan belukar.

Para pelakon akan bekerja menghidupkan watak. Watak orang hidup (atau sudah mati) mesti harus dikaji dengan mendalam. Malah cara ia mengunyah makanan pun harus dipatuh. Apatah lagi telo dan lenggok gaya badan. Sebab itu kalau muzikal kurang “tricky” kerana pada detik tertentu, ia boleh didendangkan. Maka pelakon seringkas Madonna misalan boleh sahaja disuruh melakonkan watak sebesar dan sepenting Evita. Tidak ada siapa sanggup mengecam Madonna dek cuai berjalan tidak persis Wanita Pertama Argentina itu.

Kalau biopik, genre ini memang celaka. Sebab ia boleh tergelincir menjadi karya petaka. Bahkan dari “untold” malah bisa jadi “I told you so”.

Demikianlah rumitnya emosi dan perasaan setelah menonton “Anwar”. Sukar untuk seorang pengamat filem seperti saya (ya, terpaling pengamat) untuk memisahkan dirinya dari era 1998. Maksudnya, kalau pun dia menempuh 1998, dia masih boleh melihat dari lensa kamera. Busuk-busuk pun, lebih baik dibikin dokumentari sahaja. Jauh lebih tidak berisiko. Tetapi itulah kalau takut dengan risiko biopik, usah bicara soal filem.

Kasihan, demikian dalam fikiran saya. Sayang sekali “Anwar” tidak dikerjakan dengan baik. Sebagai seniman, kita memang boleh menduga karya mana yang digesa, dan karya mana pula yang tidak cukup diperam. Juga, karya mana yang sudah ranum sehingga dapat dipetik, dan kalau sempat dirasa bersama; maka seamat manis dan lemak.

Saya masuk menonton “Anwar” dengan jangkaan rendah. Mujurlah, “Anwar” tidak seburuk dan sehodoh “Mat Kilau”. Bahkan, nasib baik sekali; sebagai pengekor filem, ada banyak lagi karya buruk yang pernah saya tonton. “Anwar” tidak sekali-kali terjunam dalam gaung. Akan tetapi walau tidak menjunam; maaf ya, memang tidak terangkat ke tiang bendera. Makanya, filem ini memang tidak boleh dijadikan panji perjuangan Anwar. Bahkan, untuk musuh beliau, serasa geli-geleman. Tidak hairan kalau ada orang Pejuang atau GTA lontar popcorn.

Untuk anak baharu yang mengenal Anwar, dikhuatiri yang tercetus daripada kelopak bibirnya; ‘Mehhh?’. Untuk penonton masa hadapan (anak-anak kecil generasi TikTok yang akan membesar), mereka akan ‘swipe left’.

Jadi ini memang filem untuk penggemar, penyanjung, dan mereka yang segenap hati dalam nafasnya menzikir Anwar. Untuk mereka yang siuman seni, perasaan setelah menonton “Anwar” sememangnya berbaur semak-samun belaka.

Garapan naratif “Anwar” dikatakan berakar perca perjuangan yang tidak tersempurnakan untuk dikisah. Ia bahkan dipertahankan sebagai kenyataan pahit (Laporan Suruhanjaya Diraja RCI 1999). Namun, ada banyak dalam dunia seorang Anwar boleh dipilih untuk dijelmakan. Sayang, sisi-sisi itu yang lebih manusiawi untuk dipadu-pantakkan diabai dan tidak dipedulikan. Maka “Anwar” jadi kering-kontang. Plot tergunting, kemudian tertampal, selepas itu diguling, ditambah tergulir akibat dan sebab tiada pucuk pangkal. Ada bahagian boleh basah-basah nikmat, terabai tidak dicucuh.

Masalah terbesar filem ini naratifnya. Lakon layarnya. Mengapalah Zunar tidak benar-benar duduk bekerja dengan seorang pengarang untuk cerita sepenting ini? Sayang sekali. Pun, filem ini bukan propaganda. Banyak ciri propaganda yang tiada. Saya malas menjejerkan nama sarjana dan teori untuk menyokong kenyataan itu, saya bukan terpaling pengamat filem. Hanya, sebagai pengarang dengan pengalaman lebih dua dekad, sebagai sebuah filem yang ingin sekadar bercerita yang “untold”, ada banyak pula perkara yang “untold” itu sepatutnya tidak perlu pun “tell”.

Apa lah perlunya membazir minit berharga untuk ditunjukkan Kak Wan duduk menanti di pintu Bukit Aman. Atau ada banyak cara untuk menunjukkan ketegasan Anwar terhadap adik beradiknya. Tidak mesti di meja makan dengan cekodok. Maka masalah pertama “Anwar: The Untold Story” ialah, Zunar sebagai penulis memiliki banyak maklumat, dan cerita; dan semua ingin dilonggok sekali. Padahal banyak yang perlu dipilih.

Ada satu hukum dalam filem, kalau boleh ditunjukkan dengan gambar; tidak payah disuruh berdialog. Ada hukum memang untuk dilanggar (jangan potong barisan?); ada hukum boleh dilentur (menonton Coldplay?); ada hukum boleh ditabrak kalau sudah pakar (mencampur adukkan Kantonis dan kata ekor lah); ada hukum terpaksa dilanggar (semacam jangan mengundi DAP untuk ahli Umno tetapi bila berdepan PAS maka jangan dipersoal); pun, jangan sekali-kali melanggar hukum dialog di atas. Itu rukun filem. Macam Rukun Negara. Sebab-musababnya amat buruk kalau dilanggar. Sebab terjerumus menjadi seperti “Anwar”.

Lakonan Farid Kamil boleh jadi lebih berkesan. Kesempatan sebaik ini sayang sekali tidak digunakan. Farid memerlukan seorang “coach” lakonan untuk kerja-kerja tertentu, termasuk yang ini. Seorang karyawan bila tiba di satu takah memerlukan magis yang lebih lagi. Kalau tidak dibantu nanti kekal hambar. Farid bukan di usia Hun Haqeem. Kadang persaingan kita bukan dengan orang lain, tetapi kita lebih bersaing dengan diri sendiri.

Acha Septriasa yang membawa watak Wan Azizah juga patut jadi lebih cemerlang. Cuma terkesan pelakonnya tidak cukup melakukan penyelidikan dan kajian. Mungkin isunya ‘ketergesaan’ itu. Terima kasih Acha, lantaran sedaya upaya mencuba. Seorang pelakon profesional sejujurnya kadang memerlukan jurulatih bahasa dan dialek. Masakan Acha tidak pernah menonton “Spencer”? Atau filem “The Iron Lady”? Busuk-busuk pun menonton Olivia Colman dalam “The Crown”?

Hasnul Rahmat yang membawa watak Mahathir diketengahkan penuh hati-hati. Memang ada imbasan bekas perdana menteri itu di sini sana, tetapi serasa belum meyakinkan.

Seperti saya nyatakan, saya tidak mengesani ciri propaganda dalam “Anwar”. Ternyata Zunar hanya mahu bercerita, tetapi beliau tidak memanfaatkan sosok misterius Anwar semaksimumnya. Ada banyak latar Anwar boleh dihantar, awal zaman siswa di UM misalnya. Untuk membantu menguatkan ketokohan protagonis.

Kedua, masalah “Anwar: The Untold Story” ialah suntingan. Sepertinya pengarah tidak bekerja dengan penyunting bersekali, dan tidak pula dengan pengarang. Terlalu banyak adegan melompat. Untuk audien dari era 1998, mereka barangkali boleh menghubungkan arghh ini bekas menteri kanan si polan-polan, itu tokoh korporat anu si anu. Akan tetapi untuk mereka yang tidak menempuh 1998, loncatan adegan dan suntingan yang tidak rapi membuat nanar. Di satu detik, tidak semena-mena Anwar mengeluarkan kepala dari jendela kenderaan dengan latar suara biduanita negara.

Nasib baik sekali Siti Nurhaliza itu ada di selit sayup-sayup. Maka paling-paling tiada pun, kita boleh mendengar Juara Lagu 1997 (Aku Cinta Padamu), dan Bintang Paling Popular Berita Harian 1998 (tahun Anwar dipecat) ini menyanyikan lagu ‘Menjaga Cintamu’. Sedap lagunya. Mungkin menang Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun mendatang.

Itulah sebabnya saya, kalau ditugaskan pejabat PMO menaratifkan Anwar di sinema; saya akan lebih rela menjadikan “Anwar” dalam genre muzikal. Boleh disuruh Dayang NurFaizah, Jamal Abdillah, Dayang Ku Intan, Anuar Zain, Ella, Awie…penyanyi-penyanyi hebat kita untuk berlakon.

Dr Vasantha Ponniah boleh jadi Francesca Peter. Percayalah, dialog kaku kalau didendang dengan merdu mungkin kita akan lekas ampunkan kalau skripnya terlebih syahdu. Contohnya, melihat Faizal Tahir menyanyi kita akan terlupa bahawa dia melakonkan watak sebagai Azmin Ali.

Justeru, rasa hendak marah langsung tidak jadi.

Kasihan, demikian dalam fikiran saya. “Anwar” ini sesungguhnya refleksi industri filem kita iaitu ada banyak potensi, tetapi sayang jatuh ke tangan orang yang salah; dan boleh pula mereka ini tidak rasa bersalah.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

( Hide )
  1. Kebetulan aku tengah dengar youtube Raja Petra Untold Story vs Real Story. Zunar oh Zunar ...

    ReplyDelete

© all rights reserved
made with by templateszoo