NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Najib didakwa tidak dedah semua aset dimilikinya

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa tidak mendedahkan keseluruhan harta yang dimiliknya.

Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Pekan itu hanya menyatakan aset yang diperolehnya daripada tahun 2011 hingga 2020 dan tiada sebarang maklumat mengenai harta yang dimilikinya dari tahun 2021 hingga 14 Mac 2022.

“Tiada pendedahan berkenaan aset-asetnya pada 2021 sehingga 14 Mac 2022. Najib (juga) tidak mendedahkan sebarang aset di luar bidang kuasa dan mengikut laporan berita bertarikh 5 Ogos 2021, wang tunai sebanyak RM114 juta telah dilepaskan kepadanya berikutan penolakan saman berhubung pelucutan hak harta.

“Plaintif (juga) mendapati bahawa Najib mengekalkan akaun bank dengan Affin Bank Berhad, yang tidak didedahkan dalam afidavit bagi pendedahan aset. Plaintif mempercayai bahawa Najib mempunyai lebih banyak aset daripada apa yang didedahkan dalam afidavitnya,” kata Pengerusi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Datuk Johan Mahmood.

Selain itu, Johan turut memetik laporan berita dari sebuah portal perniagaan yang mendedahkan bahawa Najib telah memfailkan memfailkan afidavit untuk mendedahkan asetnya bagi mematuhi perintah larangan melupuskan harta yang hampir sama yang mana dalam afidavit berkenaan, bekas Presiden UMNO itu menyatakan mempunyai aset bernilai RM4.49 juta. 

Laporan sama turut menyatakan Najib mempunyai deposit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sebanyak RM2.53 juta yang tidak didedahkan dalam afidavit pendedahan melalui kes saman difailkan 1MDB sebaliknya hanya mendedahkan aset bernilai RM1.16 juta dan pendapatan RM587,334 pada tahun 2020.

Sehubungan itu, Johan mendakwa Najib hanya membuat pendedahan separa dan tidak mematuhi perintah mareva dan perintah ad-interim (sementara) yang dikeluarkan mahkamah.

Johan membuat kenyataan tersebut melalui afidavit tambahan yang difailkan berhubung permohonan injunksi mareva sebelah pihak yang dipohon oleh 1MDB dan anak-anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) pada 8 Februari lalu.

Perintah itu juga antara lain menyebut, Najib mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga pada nilai AS$681,000,000, sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

Selain perintah melarang Najib mengalihkan, melupuskan, mengendalikan atau mengurangkan nilai asetnya di dalam negara, perintah Mareva itu juga tidak dibenarkan mengeluarkan wang melebihi RM100,000 sebulan daripada akaunnya untuk perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman.

Perintah itu berkuatkuasa sementara menunggu keputusan akhir kes saman sivil AS$8 bilion yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap bekas Perdana Menteri dan bekas pengurusan kanan 1MDB.

Mahkamah Tinggi hari ini sepatutnya mendengar permohonan Najib untuk mengetepikan injunksi mareva yang diperoleh 1MDB dan satu anak syarikatnya bagi menghalangnya daripada melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta.

Bagaimanapun peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memohon diberikan masa bagi menjawab afidavit tambahan itu. Kes ditetapkan untuk pendengaran pada 14 Julai ini.

Selain Najib, turut dinamakan dalam saman itu ialah bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee; dan bekas Ketua Pegawai Operasi 1MDB Vincent Beng dan Radhi Mohamad.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Pengarah Pelaburan 1MDB, Kelvin Tan Kay Jim; dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil. – UTUSAN

 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo