NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes Bella: Nasib Siti Bainun diketahui esok

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali didakwa mengabai dan menganiaya Bella hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju pada 2021. (Gambar Bernama)


KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali akan mengetahui nasibnya esok, sama ada dilepas atau disabitkan atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi dijangka membacakan keputusan di akhir kes pembelaan pada 10 pagi.

Pada 9 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas mengemukakan lapan saksi dengan Siti Bainun sebagai saksi pembelaan pertama memberi keterangan pada prosiding bermula 26 Jan lalu.

Saksi lain yang memberi keterangan ialah pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai, pegawai penemubual Pusat Temuduga Kanak-Kanak(CIC) Siti Nur Balqes Abdul Rahim dan Nor Aidil Farhab Johaizad.

Siti Bainun, 31, sepatutnya memberi keterangan membela diri pada 16 Jan lalu, namun prosiding ditangguhkan berikutan tiga peguamnya iaitu Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf dan Nur Ellena Mohamed Razif menarik diri daripada mewakilinya.

Prosiding membela diri itu bersambung keesokannya, namun dua lagi peguamnya iaitu Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil turut membuat keputusan menarik diri daripada mewakili Siti Bainun sekali gus menjadikan tertuduh tidak mempunyai peguam.

Pada 26 Jan lalu, Hakim Izralizam mengarahkan Siti Bainun memberi keterangan membela diri meskipun wanita itu tidak diwakili peguam agar tidak mengganggu perjalanan kes.

Bagaimanapun, pada 20 Feb lalu, Siti Bainun melantik semula Farhan yang pernah mewakilinya semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan.

Pendakwaan mengemukakan 22 saksi termasuk bekas penghuni Rumah Bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood, pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur yang memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 30 Mac 2022.

Pada 24 Nov 2022, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias manakala peguam Khairul Anwar Rahmat, Baljit Singh Sidhu, Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman dilantik oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku peguam pemerhati.


Sumber I FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo