NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kejatuhan Ringgit, Malaysia perlukan Menteri Kewangan yang kompeten, dan bertugas sepenuh masa di MOF.

Kejatuhan Ringgit, Malaysia perlukan seorang Menteri Kewangan yang kompeten, dan bertugas sepenuh masa di MOF.

Ringgit makin menyusut.

Dalam tempoh 6 bulan ini, Ringgit telah menyusut berbanding Dolar Amerika dan matawang lain sehingga mencecah paras RM4.60/USD, dan dijangka boleh mencecah paras RM5.00/USD jika tidak dikawal.

Secara umumnya, penyusutan Ringgit kali ini disebabkan faktor ekonomi & kemelut hutang di Amerika Syarikat, serta ketidaktentuan ekonomi global sehingga menjejaskan permintaan terhadap semua matawang, termasuklah Ringgit.

Cuma lemahnya Ringgit kali ini, bukan sekadar jatuh berbanding USD, tetapi juga lemah berbanding Dolar Singapura, Baht Thailand dan Rupiah Indonesia.

Persoalannya, mungkin ada faktor dalaman yang menyebabkan Ringgit menjadi lemah berbanding matawang negara jiran. 

Pada masa sama, jualan bersih oleh pelabur asing di Bursa Malaysia telah memasuki minggu kelima berturut-turut dengan aliran keluar berjumlah RM58.7 juta minggu lalu.

Menurut MIDF, pelabur asing telah menjadi penjual bersih selama 15 daripada 21 minggu tahun ini, dengan jumlah aliran keluar asing bersih sebanyak RM2.45 bilion.

Ringgit perlu bertahan.

Di pihak BNM, dasar monetari telah diambil bagi mengimbangi risiko dalaman dan luaran ini, termasuklah menaikkan OPR baru-baru ini.

Penjelasan awam perlu ditingkatkan, supaya rakyat faham situasi getir yang sedang kita berdepan. Ringgit jatuh, import mahal, kos bahan meningkat, harga barang juga meningkat.

Di pihak kerajaan, kita masih menunggu formula dan strategi yang akan dikemukakan oleh Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi. Setakat ini masih belum kelihatan strategi yang benar-benar ampuh untuk Malaysia bertahan.

Malah Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan dilihat sukar memberikan fokus di MOF, dengan bebanan tugas yg berat sebagai Perdana Menteri di luar.

Peranan dan penumpuan seorang Menteri Kewangan adalah amat penting dalam tempoh kritikal ini, khususnya bagi mengimbangi langkah yang diambil oleh Bank Negara yang mengawal dasar monetari.

Inilah sebahagian daripada kegusaran kami ketika pembentukan Kabinet, apabila Perdana Menteri memegang portfolio Menteri Kewangan.

Syahir Sulaiman, 31 Mei 2023

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo