NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kakitangan kerajaan rugi RM852,000 angkara ‘phone scam’

Polis berkata menerusi panggilan telefon itu suspek mendakwa mangsa membuat tuntutan kos pembedahan sebanyak tiga kali dalam tempoh singkat.

KOTA BHARU: Seorang kakitangan kerajaan kerugian RM852,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket menggunakan taktik panggilan telefon yang menyamar pegawai insurans, pegawai mahkamah dan polis.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa lelaki berusia 50-an menerima panggilan telefon daripada seorang wanita mendakwa daripada sebuah syarikat insurans dari Ampang, Selangor, pada Januari lalu ketika berada di rumahnya.

Beliau berkata, menerusi panggilan itu, suspek mendakwa mangsa membuat tuntutan kos pembedahan sebanyak tiga kali dalam tempoh singkat.

Mangsa kemudian sekali lagi menerima panggilan telefon daripada syarikat insurans yang sama pada awal Februari memaklumkan mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

“Menerusi panggilan itu, suspek mengatakan waran tangkap dan waran pembekukan akaun ke atas mangsa telah dikeluarkan. Panggilan telefon kemudian disambungkan kepada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai timbalan pendakwa raya.

“Mangsa telah diarahkan membuka akaun Agro Bank dan memberikan nombor telefon yang diberikan oleh suspek semasa proses pembukaan akaun bank tersebut selain suspek turut meminta mangsa memindahkan wang dari akaun ASB miliknya ke dalam akaun baru dibuka,” katanya dalam kenyataan.

Zaki berkata, pada masa sama suspek juga mengarahkan mangsa membuat pinjaman peribadi dengan bank MBSB sebanyak RM350,000 selain mangsa melakukan pemindahan ke dalam akaun Agro Bank miliknya seperti diarahkan suspek.

Katanya, suspek kemudian memberitahu mangsa bahawa pihak mahkamah memerlukan masa tiga bulan untuk memberikan keputusan rasmi kepada mangsa.

“Pada awal April, mangsa cuba untuk mendaftar perbankan dalam talian untuk akaun Agro Bank miliknya tetapi gagal kerana ada pihak mendaftar menggunakan nombor akaun mangsa.

“Mangsa kemudian membuat semakan di bank berhampiran dan mendapati baki dalam akaunnya hanya berbaki RM48. Menyedari ditipu, mangsa hadir ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.

Beliau berkata, anggaran kerugian lebih kurang RM852,000 dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

- FMT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo