NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label SCAMMER. Show all posts
Showing posts with label SCAMMER. Show all posts

Wang simpanan RM2.25 juta lesap

Putrajaya: Seorang pesara syarikat swasta 'berputih mata' selepas RM2.25 juta wang simpanannya lesap begitu saja apabila syarikat yang menawarkan pelaburan masa depan bercirikan saham hartanah dan skim Saham Boleh Tebus Syariah (i-RPS) didakwa gagal meneruskan pembayaran dividen seperti dijanjikan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azmi, 55, dari Johor berkata, sepatutnya dia sudah menikmati persaraan. Namun, selepas keseluruhan simpanannya termasuk Tabung Haji (TH) dan Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) habis dilaburkan, dia terpaksa kembali bekerja bagi menyara keluarga.

Menurutnya, dia menyertai program itu sejak November 2022 selepas tertarik dengan pakej pelaburan yang dipromosikan melalui seorang ejen berpangkat 'Datuk' dan dikatakan diketuai individu berpengaruh dalam bidang keagamaan bergelar 'Tan Sri'.

Katanya, dividen ditawarkan sebanyak 15 peratus dan beliau pernah menerima bayaran sebanyak tujuh kali sebelum ia terhenti sepenuhnya sejak tahun lalu.

"Kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan pesara. Kami berharap pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab," katanya.

Azmi adalah antara kira-kira 276 mangsa yang hadir menyerahkan surat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.

Penyerahan itu diketuai Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

Menurut sumber, jumlah keseluruhan kerugian ditanggung mangsa dianggarkan mencecah RM104.9 juta.

Hishamuddin berkata, syarikat terbabit tidak tersenarai sebagai syarikat sah dan didakwa melaburkan wang mangsa ke beberapa entiti lain tanpa pengetahuan pelabur.

Menurutnya, MHO sebelum ini sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Bank Negara Malaysia.

Katanya, hampir 1,000 individu dipercayai menjadi mangsa keseluruhan skim itu, dengan modus operandi memperdaya pelabur dan menggunakan modal yang diserahkan untuk tujuan lain.

"Kami memohon siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM dikenakan terhadap pihak bertanggungjawab bagi mengelakkan isu ini terus berlarutan," katanya.

Sumber : HMetro

Dua Pesara Guru di Pahang Rugi Lebih RM2.2 Juta Akibat Penipuan Dalam Talian

Kuantan – Dua pesara guru di Pahang menjadi mangsa penipuan melibatkan skim pelaburan tidak wujud dan individu menyamar sebagai penjawat awam, menyebabkan kerugian keseluruhan lebih RM2.2 juta.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, memaklumkan kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 71 tahun. Kejadian bermula apabila mangsa tertarik dengan iklan pelaburan saham di Facebook. Dia diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan dan dijanjikan pulangan 30%. Terpedaya dengan keuntungan awal, mangsa melabur lebih RM1.8 juta melalui 21 transaksi. Mangsa menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan wangnya dan diminta membayar tambahan RM2.84 juta.

Kes kedua melibatkan seorang wanita berusia 60 tahun yang menerima panggilan palsu daripada "ejen insurans" dan kemudian "anggota polis" menyamar sebagai Sarjan Zaidi. Suspek menuduh mangsa terlibat dalam penggubahan wang haram bernilai RM2.8 juta dan mengarahkan mangsa memindahkan wang dari akaunnya ke akaun suspek. Mangsa turut membuat pinjaman dan menjual barang kemas untuk memenuhi permintaan suspek. Kejadian itu berlarutan sehingga mangsa menyedari ditipu.

Datuk Seri Yahaya mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dan segera membuat semakan dengan pihak berwajib sebelum mengambil tindakan. Semakan nombor akaun dan telefon boleh dilakukan melalui https://semakmule.rmp.gov.my untuk mengelakkan menjadi mangsa penipuan. - 1Media.my


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Kakitangan kerajaan rugi RM852,000 angkara ‘phone scam’

Polis berkata menerusi panggilan telefon itu suspek mendakwa mangsa membuat tuntutan kos pembedahan sebanyak tiga kali dalam tempoh singkat.

KOTA BHARU: Seorang kakitangan kerajaan kerugian RM852,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket menggunakan taktik panggilan telefon yang menyamar pegawai insurans, pegawai mahkamah dan polis.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa lelaki berusia 50-an menerima panggilan telefon daripada seorang wanita mendakwa daripada sebuah syarikat insurans dari Ampang, Selangor, pada Januari lalu ketika berada di rumahnya.

Beliau berkata, menerusi panggilan itu, suspek mendakwa mangsa membuat tuntutan kos pembedahan sebanyak tiga kali dalam tempoh singkat.

Mangsa kemudian sekali lagi menerima panggilan telefon daripada syarikat insurans yang sama pada awal Februari memaklumkan mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

“Menerusi panggilan itu, suspek mengatakan waran tangkap dan waran pembekukan akaun ke atas mangsa telah dikeluarkan. Panggilan telefon kemudian disambungkan kepada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai timbalan pendakwa raya.

“Mangsa telah diarahkan membuka akaun Agro Bank dan memberikan nombor telefon yang diberikan oleh suspek semasa proses pembukaan akaun bank tersebut selain suspek turut meminta mangsa memindahkan wang dari akaun ASB miliknya ke dalam akaun baru dibuka,” katanya dalam kenyataan.

Zaki berkata, pada masa sama suspek juga mengarahkan mangsa membuat pinjaman peribadi dengan bank MBSB sebanyak RM350,000 selain mangsa melakukan pemindahan ke dalam akaun Agro Bank miliknya seperti diarahkan suspek.

Katanya, suspek kemudian memberitahu mangsa bahawa pihak mahkamah memerlukan masa tiga bulan untuk memberikan keputusan rasmi kepada mangsa.

“Pada awal April, mangsa cuba untuk mendaftar perbankan dalam talian untuk akaun Agro Bank miliknya tetapi gagal kerana ada pihak mendaftar menggunakan nombor akaun mangsa.

“Mangsa kemudian membuat semakan di bank berhampiran dan mendapati baki dalam akaunnya hanya berbaki RM48. Menyedari ditipu, mangsa hadir ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.

Beliau berkata, anggaran kerugian lebih kurang RM852,000 dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

- FMT

Kerani rugi RM140,000 diperdaya Miss Rina

TELUK INTAN - Seorang kerani di sebuah syarikat swasta kerugian hampir RM140,000 selepas terpedaya tawaran kerja sambilan secara dalam talian di sini sejak April lepas.

Wanita berusia 26 tahun dari Langkap itu dikatakan menerima satu pesanan di aplikasi WhatsApp melalui nombor 011-63706329 memperkenalkan diri sebagai Miss Rina dengan beberapa tawaran kerja sambilan yang membolehkannya memperoleh wang komisen mengikut tugasan dilakukan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa yang menyatakan minat dengan tawaran itu telah dimasukkan dalam satu group telegram atas nama LCX Task Group 21 sebelum diberi penerangan tugasan.

Menurutnya, mangsa dijanjikan wang komisen antara 10 hingga 20 peratus bagi tugasan kerja dinyatakan termasuk perlu melayari akaun Shopee dengan memilih barangan mengikut jumlah harga dinyatakan.

"Hasil melakukan beberapa kali tugasan tersebut, mangsa telah membuat 13 kali pembayaran secara dalam talian kepada empat institusi kewangan swasta dengan jumlah keseluruhan RM139,616.50 bermula tarikh 26 April sehingga 5 Mei lepas.

"Mangsa diminta untuk memasukkan lagi wang tambahan kononnya bagi mendapatkan semula jumlah penuh wang yang telah dimasukkan, namun tidak melakukannya kerana menyedari tertipu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Mangsa telah membuat laporan polis berhubung perkara itu pada Khamis.

Ahmad Adnan berkata, statistik kes melibatkan tipu tawaran kerja sambilan menunjukkan peningkatan sejak tahun lepas.

Ujar beliau, sepanjang 2022 sebanyak lapan kes direkodkan dengan kerugian RM133,207 manakala bagi Januari hingga Mei tahun ini, lapan kertas siasatan telah dibuka membabitkan RM267,729.42.

"Kebanyakan mangsa berusia 20 hingga 40 tahun yang mencari pendapatan tambahan dengan mudah yang dilihat di laman sosial.

"Masyarakat dinasihati agar tidak mudah terpengaruh dengan cara mendapatkan pendapatan melalui komisen daripada orang perantaraan dalam transaksi jual beli dalam talian seperti ini," katanya.

oleh
NORMAWATI ADNAN
12 Mei 2023 06:20pm



© all rights reserved
made with by templateszoo