NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Inflasi Malaysia meningkat kepada 3.3 peratus April 2023

Kata DOSM, daripada 230 item makanan dan minuman, 84.3 % merekodkan kenaikan harga berbanding pada April 2022.




Inflasi Malaysia meningkat kepada 3.3 peratus (%) pada April 2023 dengan mata Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan 130.0 berbanding 125.9 April 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menjelaskan kenaikan inflasi di Malaysia kekal didorong oleh restoran dan hotel (6.6%) serta makanan dan minuman bukan alkohol (6.3%).

“Namun begitu, peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan pengangkutan iaitu 2.3% berbanding yang dicatatkan pada Mac 2023 (2.4%) sedikit sebanyak mengimbangi inflasi Malaysia daripada terus meningkat lebih tinggi,” kata DOSM, lapor Bernama.

Katanya, kenaikan inflasi itu turut didorong oleh peningkatan kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3%); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5%); kesihatan (2.1%) serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.8%).

Sementara kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta pendidikan masing-masing merekodkan kenaikan 1.6% manakala minuman alkohol dan tembakau serta pakaian dan kasut pula masing-masing meningkat sebanyak 0.6% dan 0.5%.

DOSM menyatakan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang 29.5 % kepada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 6.3 % (Mac 2023: 6.9%).

Daripada 230 item makanan dan minuman, 84.3 % merekodkan kenaikan harga berbanding pada April 2022, tambah jabatan itu.

Menurut perangkaan, komponen makanan di rumah menyederhana kepada 5.0% pada April 2023 berbanding 5.6% yang direkodkan bulan sebelumnya.

“Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang bermula pada 15 hingga 30 April 2023 selama 16 hari sedikit sebanyak meredakan inflasi komponen ini daripada terus meningkat,” tambahnya.

DOSM memaklumkan sembilan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 3.3% dengan Kedah dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 2%.

Walau bagaimanapun, hanya lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (4.1%), Sarawak (3.9%), Selangor (3.8%), Pahang (3.5%) dan Perak (3.4%).

DOSM menjelaskan, inflasi keseluruhan secara bulanan pada April 2023 meningkat marginal kepada 0.1% pada kadar yang sama yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Ini disumbangkan terutama oleh pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.4%), pengangkutan (0.3%) serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.3%),” menurutnya.

Inflasi teras mengukur perubahan harga barang dan perkhidmatan yang tidak termasuk item makanan segar yang tidak menentu dari segi harga serta barang dan perkhidmatan yang tertakluk dengan kawalan harga dari kerajaan meningkat lebih perlahan kepada 3.6 % (Mac 2023: 3.8%), tambah jabatan itu.

DOSM memaklumkan kenaikan inflasi teras ini didorong oleh peningkatan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang mencatatkan 7.2 % (Mac 2023: 7.5%) serta restoran dan hotel (6.6%) (Mac 2023: 7.2%).


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo