NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Imran Khan ditahan tentea : Protes besar-besaran di Pakistan

LAHORE: Pertempuran ganas telah berlaku di Pakistan antara pasukan keselamatan dan penyokong bekas perdana menteri Imran Khan selepas dia ditangkap pada Selasa (8 Mei).

Protes meletus di seluruh negara itu, dan sekurang-kurangnya seorang telah terbunuh di bandar Quetta.

Khan telah ditangkap oleh pasukan keselamatan di Mahkamah Tinggi di ibu negara, ketika  hadir untuk perbicaraan atas tuduhan rasuah, yang menurutnya bermotif politik, dengan rakaman dramatik menunjukkan berpuluh-puluh pegawai tiba dan menahan lelaki berusia 70 tahun itu, yang diikat sebelum dihumban ke dalam kenderaan, lapor BBC.

Pada petang Selasa, penyokong Khan berkumpul di luar Suruhanjaya Tinggi Pakistan di London untuk membantah penahanannya.

Sementara rakaman dari Lahore yang disiarkan di Twitter kelihatan menunjukkan orang ramai memecah masuk ke dalam rumah komander kor tentera memusnahkan perabot dan barang-barang di dalamnya.

Satu kenyataan daripada ketua polis Punjab berkata penahanan Khan telah diarahkan atas tuduhn melakukan ‘rasuah dan amalan rasuah’.

Kes itu membabitkan dakwaan mengenai pemberian tanah dalam apa yang dipanggil Amanah Al-Qadir, yang dimiliki oleh Khan dan isterinya, lapor akhbar Dawn.

Sementara bercakap kepada BBC Newshour, jurucakap Khan, Raoof Hasan, berkata beliau menjangkakan ‘yang paling teruk’ dan penahanan itu boleh menjerumuskan negara ‘dalam huru-hara dan anarki’.

“Kami sedang menghadapi pelbagai krisis. Terdapat krisis ekonomi, politik dan kos krisis sara hidup; yang akibatnya peristiwa ini akan menjadi katarsis bagi mereka untuk melangkah keluar dan saya bimbang keganasan akan kembali berlaku,” katanya.

Seorang anggota pasukan undang-undang  Khan, Raja Mateen, berkata kekerasan yang tidak wajar telah digunakan terhadapnya di mahkamah.

“Imran Khan pergi ke pejabat biometrik kerana ada urusan tertentu. Renjer pergi ke sana, mereka memecahkan tingkap, mereka memukul kepalanya dengan baton,” kata Mateen.

Sehubungan itu, Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan pimpinan Khan menyeru penyokongnya untuk membantah. 

Beberapa jam selepas dia ditahan, keganasan dilaporkan dari bandar-bandar termasuk Lahore, Karachi dan Peshawar.

Sehubungan itu, di jalan-jalan raya  Islamabad, ratusan penunjuk perasaan menyekat salah satu lebuh raya utama masuk dan keluar dari ibu negara.

Orang ramai menurunkan papan tanda jalan dan bahagian jejantas, menyalakan api dan membaling batu, yang menyaksikan penunjuk perasaan berkata mereka marah dengan penahanan Imran Khan itu.

“Biarlah huru-hara. Jika tidak ada Imran, tidak ada apa-apa lagi di Pakistan. Tiada siapa di sana untuk mengambil alih,” ujar seorang penunjuk perasaan, Farida Roedad.

Menulis di media sosial, polis di Islamabad berkata lima pegawai polis telah cedera dan 43 penunjuk perasaan ditahan.

Ia berkata sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk enam pegawai polis, telah cedera di bandar barat daya Quetta dalam pertempuran antara penyokong Khan dan pasukan keselamatan – dengan seorang penunjuk perasaan terbunuh.

Terdahulu, Khan telah digulingkan sebagai Perdana Menteri  pada April tahun lalu dan sejak itu,  telah berkempen untuk pilihan raya awal sejak itu. 

– HARAKAHDAILY 


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo