NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hotel lima bintang lokasi penginapan jemaah Malaysia

MADINAH – Tiga hotel bertaraf lima bintang yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan pemandangan ke Masjid Nabawi bakal menjadi tempat penginapan jemaah haji Malaysia di sini.

Pengurus Zon 1 Madinah, Mohamad Abas berkata, hotel itu ialah Anwar Movenpick, Saja Al-Madinah serta Emmar Royal yang terletak antara 50 hingga 200 meter dari Masjid Nabawi.

Katanya, Tabung Haji (TH) telah bersedia menyambut ketibaan kesemua jemaah terutama kumpulan pertama seramai 284 orang yang bakal mendarat di Lapangan Terbang Putera Muhammad Bin Abdulaziz di sini hari ini.

“Antara kemudahan yang disediakan termasuk perkhidmatan bagasi, kaunter Bank Islam, talian telefon dan kaunter khidmat pelanggan untuk membantu jemaah yang mempunyai masalah termasuk Pihtas (Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci).

“Selain itu, kita juga ada khidmat kaunseling bagi menenangkan emosi jemaah yang tidak stabil kerana berjauhan dengan keluarga, merindui kampung halaman dan jika berlaku perselisihan faham,” katanya pada sidang akhbar di Anwar Movenpick di sini semalam.

Penginapan yang selesa bertaraf lima bintang di Hotel Movenpick bakal menjadi lokasi penginapan jemaah haji Malaysia di Madinah.

Menurut Mohamad, setiap kumpulan akan berada di Madinah antara lima hingga enam hari sebelum berangkat ke Mekah sehingga wukuf dan ketika berada di sini, mereka perlu mengikuti program taklimat dan keilmuan yang telah disusun.

Tambahnya, antara program itu ialah menziarahi makam Nabi SAW, memasuki raudah dan melawat tempat bersejarah.

“Madinah merupakan tempat yang memberi keselesaan kerana rata-rata jemaah haji sebelum ini mengatakan mereka berasa tenang serta seronok,” katanya.

Ujar Mohamad, jemaah juga diminta untuk memakai tag pengenalan diri sepanjang masa kerana ia merupakan penyelamat sekiranya mereka sesat atau pengsan ketika sedang berjalan atau bersiar-siar di sekitar Madinah.

“Pernah terjadi ada jemaah yang hampir pengsan ketika sedang berjalan kerana kelaparan dan nasib baik ketika itu dia sempat memberitahu bahawa dia jemaah Malaysia. Jika tidak, dia akan dihantar ke hospital dan tiada siapa tahu keberadaannya,” katanya.

Menurut Mohamad, jemaah haji Malaysia akan tinggal bersama-sama jemaah dari negara lain di tiga hotel tersebut.

“Tahun ini lebih mencabar kerana kuota haji telah kembali kepada asal kepada lebih 30,000 berbanding 15,000 tahun lalu dan penggunaan bilik yang menempatkan antara lima hingga enam jemaah dalam satu unit akan meningkat,” katanya.

Mohamad menambah, jemaah juga diminta supaya hadir pada setiap sesi taklimat kerana ia mengandungi maklumat terbaharu sepanjang mereka berada di sini.

“Maklumat itu kemudian akan dihantar ke dalam kumpulan WhatsApp yang telah diwujudkan sejak mereka berada di tanah air lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo