Bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menuntut penjelasan UMNO berkait gambar bekas-bekas pemimpin yang diturunkan semasa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 Mei lalu.

Katanya, ketika bertemu ahli-ahli UMNO Sembrong beliau dihujani soalan berkait perkara itu.

“Saya faham konvensyen itu diperlukan kerana beberapa gabungan parti mesti disatukan untuk kestabilan politik negara dan juga kerajaan tetapi saya lihat sendiri ada beberapa perkara yang agak janggal apabila ia diadakan di Dewan Merdeka, iaitu rumah UMNO sendiri.

“Penjelasan kepada akar umbi berhubung kait dengan hubungan yang wujud sekarang perlu dijelaskan kerana secara peribadi apabila gambar bekas-bekas pemimpin kita yang telah banyak berkorban untuk perjuangan parti dihilangkan di dalam Dewan Merdeka semasa konvensyen. Itu saya rasa tidak kena.

“Dan hari ini saya bersama-sama warga Sembrong dalam majlis rumah terbuka Hari Raya, ini semua merupakan soalan-soalan yang mereka tanyakan kepada saya,” katanya dalam catatan di Instagram, hari ini.

Hishamuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong digantung keahliannya pada awal tahun lalu.

Kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menganjurkan perhimpunan julung kali itu dengan perwakilan kesemua parti kerajaan hadir dengan kemeja berwarna putih.

Perhimpunan itu diwarnakan dengan ucapan pemimpin kerajaan puji memuji antara satu sama lain.