GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang menasihatkan orang Islam yang hendak mengupah badal haji berhati-hati memilih individu mengerjakannya agar tidak menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

Jelas Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor ia susulan pengupah berkenaan perlu mengetahui status individu diupahnya kerana seorang Muslim tidak boleh melaksanakan badal haji lebih daripada seorang.

“Seorang Muslim yang sudah menunaikan rukun haji bagi dirinya sendiri adalah diharuskan sama ada dengan upah atau sukarela, bagi mengerjakan fardu haji terhadap seorang Muslim yang lain.

“Malah, melakukan badal haji bagi menggantikan seorang Muslim yang lain adalah diharuskan di dalam syariat jika sekiranya seseorang itu terhalang untuk mengerjakan haji sendiri dengan halangan yang kekal.

“Halangan kekal itu adalah seperti usia yang lanjut atau tua, sakit yang tiada harapan kesembuhannya atau sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Wan Salim, bagi halangan bersifat sementara seperti sakit yang diharapkan kesembuhannya, tiada keamanan dalam perjalanan atau seumpamanya maka tidak sah haji yang diwakilkan kepada orang lain.

Begitu juga seorang Muslim yang faqir atau miskin tidak sah mewakilkan seorang lain melaksanakan rukun ini bagi dirinya kerana kewajipan haji dikira gugur daripada seorang yang tidak berkemampuan di sudut kewangan.

“Oleh yang demikian saya menasihatkan kepada sesiapa yang berniat hendak membuat badal haji untuk ibu bapa atau ahli keluarga yang uzur atau telah meninggal dunia supaya berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa individu atau pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dalam bab badal haji ini,” kata beliau.

Media semalam melaporkan Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan orang ramai terutamanya umat Islam di Malaysia agar lebih berhati-hati dengan tawaran badal atau upah haji oleh agensi pelancongan atau individu tertentu.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, setiap individu dari luar Mekah perlu mendapatkan visa haji untuk melaksanakan ibadat haji yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. – MalaysiaGazette