Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang. |
Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan terdapat beberapa individu yang menghubunginya dengan membut tawaran untuk menyertai kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-UMNO diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden PAS itu memberitahu tawaran dibuat individu penting dalam kerajaan campuran itu atas alasan parti tersebut memiliki kerusi paling banyak jika dibandingkan parti-parti lain seperti DAP, PKR dan UMNO.
“Ada beberapa orang (kerajaan) hubungi ajak saya berjumpa untuk menawarkan PAS supaya menyertai Kerajaan Perpaduan ketika ini,” kata Hadi dipetik laporan BH hari ini.
Hadi terdahulu hadir ke Majlis Pelancaran Buku Jejak Nabi Muhammad dan Syarahan Perdana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Bagaimanapun, Hadi berkata tawaran tersebut terlalu sukar untuk diterima memandangkan PAS sudah berada dalam Perikatan Nasional (PN) dan tawaran tersebut dilihat tidak adik kepada mereka selaku parti terbesar di negara yang memenangi banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
“Ada orang hubungi saya, beberapa orang ajak berjumpa dengan tawaran-tawaran supaya PAS menyertai kerajaan kerana jumlah PAS paling besar iaitu 43 kerusi.
“PKR 30 sahaja, dalam keadaan itu 19 kerusi PKR Melayu, DAP tiga orang Melayu, kerajaan didominasi oleh bukan Melayu.
“Dia nak ajak PAS tapi PAS duduk belakang bukan duduk di depan. Patutnya bila buat kerajaan, yang paling besar memimpin,” katanya lagi.
Hadi menjelaskan, ketika ini pihaknya sememangnya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun tetapi tawaran berkenaan mesti tidak lari daripada prinsip, matlamat dan hala tuju PAS.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai penyertaan bekas setiausaha agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa, ke dalam PAS, Hadi berkata, perkara berkenaan akan diumumkan kelak dan akan membabitkan beberapa lagi orang pemimpin.
“Saya tidak boleh menyatakan perkara itu sekarang sebab mungkin sudah ada yang sertai PAS dan masih ada lagi mereka yang terikat dengan Akta Anti Lompat Parti. Mereka daripada kalangan wakil rakyat UMNO yang menang pada pilihan raya yang lalu juga ada.
“Perkara itu sudah ada dan mengikut statistik terkini sudah ada jumlah 49 kerusi di Parlimen tetapi PAS letak 43 kerusi sahaja dahulu atas sebab kekangan Akta Anti Lompat Parti yang dilaksanakan ketika ini,” katanya lagi.
Katanya, sebelum ini kerajaan PH melaksanakan Akta Anti Lompat Parti berkenaan supaya rakyat menyokong pihak mereka, tetapi sekarang undang-undangnya berkenaan menjerat diri mereka sendiri.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment