NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bubar BN atau PH ke arah sistem dua parti

BUBAR BN ATAU PH KE ARAH SISTEM DUA PARTI

1. Sebelum ini saya pernah menulis tentang perlunya sistem dua parti di dalam politik Malaysia bagi memastikan kestabilan politik tidak tergugat, seperti yang pernah berlaku selepas PRU ke-14 tahun 2018. Dengan adanya dua parti atau gabungan parti utama memenangi pilihanraya umum, situasi parlimen tergantung seperti yang berlaku pasca PRU ke-15 dapat dielakkan.

2. Meskipun sistem dua parti bukanlah jaminan seratus peratus kestabilan politik negara tidak goyah, namun dengan adanya Akta Anti Lompat Parti akan memperkukuhkan sesebuah kerajaan yang dibentuk oleh sesebuah parti atau gabungan parti tunggal. Ia berbeza jika sesebuah kerajaan dibentuk oleh beberapa parti atau gabungan parti selepas pilihanraya umum.

3. Kerajaan Campuran PH-BN (termasuk GPS dan GRS) bukanlah sebuah kerajaan yang stabil sebaliknya boleh tumbang bila-bila masa. Adalah diyakini, sekiranya Dato Sri Mohamad Najib Tun Abdul Razak tidak dibebaskan selepas PRU peringkat enam negeri pada Julai atau Ogos tahun ini, Kerajaan Campuran PH-BN kemungkinan besar akan berkubur.

4 Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang dianjurkan di WTC baru-baru ini hanyalah sebuah okestra untuk menayangkan kepada masyarakat umum, hubungan gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan adalah jitu. Hakikat sebenarnya hubungan antara mereka adalah rapuh disebabkan berbeza halatuju, melainkan jika parti-parti tersebut diikat dengan satu gabungan.

5. Untuk menjadi sebuah gabungan parti yang utuh, BN atau PH perlu dibubarkan, dan anggota-anggota parti dalam gabungan yang dibubarkan menyertai gabungan yang kekal. Contohnya, jika BN dibubarkan, UMNO, MCA, MIC dan PBRS menyertai PH. Dengan langkah tersebut, PH selepas itu menjadi sebuah gabungan tunggal menjadi tulang belakang kerajaan. 

6. Selain daripada itu, boleh juga kedua-dua BN dan PH dibubarkan, kemudiannya sebuah gabungan baru diwujudkan. Langkah seperti ini boleh jadi lebih bersifat menang-menang, berbanding hanya satu gabungan sahaja yang dibubarkan. Malah, sekiranya gabungan parti-parti dari Sabah dan Sarawak dibubarkan, seterusnya menyertai gabungan baru, ia sebenarnya lebih baik.

7. Sistem dua parti seperti yng wujud di negara-negara maju, lazimnya tidak disusun oleh sesuatu perundangan. Ia wujud apabila ada dua parti atau gabungan parti yang utama mendapat sokongan besar dari pengundi. Salah satu antara dua parti atau gabungan parti tersebut boleh membentuk kerajaan selepas PRU, tanpa memerlukan sokongan dari parti-parti lain.

8. Sebenarnya tanpa disedari, situasi sistem dua parti ini telah wujud di Malaysia sejak PRU ke-10 tahun 1999, apabila wujud dua gabungan parti utama iaitu BN dan BA, kemudian BN dan PR. Oleh sebab itu, ramai pemerhati politik menganggap PRU ke-10 adalah titik tolak (turning point) kepada senario politik Malaysia seperti yang wujud pada hari ini. 

9. Bagaimanapun, senario ini berubah pada PRU ke-14 tahun 2018, apabila wujud tiga gabungan parti BN, PH dan GAGASAN. Meskipun GAGASAN adalah gabungan minor, tetapi PAS yang menjadi tonggak GAGASAN telah berperanan sebagai King Maker, sebaik sahaja krisis kepimpinan berlaku dalam PH pada tahun 2020. Krisis ini telah membawa kepada Perdana Menteri meletak jawatan.

10. Dalam PRU ke-15, kewujudan tiga gabungan parti utama semakin ketara iaitu PH, PN dan BN. Kesannya, berlaku situasi parlimen tergantung selepas pilihanraya. Melihat kepada kemeriahan Konvensyen Kerajaan Perpaduan baru-baru ini, sudah sampai masanya sama ada BN atau PH dibubarkan untuk membentuk satu gabungan tunggal yang menjadi tonggak kerajaan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo