NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

36 sekolah dikenalpati rosak akibat ribut Jumaat lalu

PUTRAJAYA – Sebanyak 36 sekolah dilaporkan rosak dalam kejadian ribut yang melanda Kuala Lumpur dan Selangor pada Jumaat lalu.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, kerosakan tersebut melibatkan 27 sekolah di Kuala Lumpur dan sembilan sekolah di Selangor.

“Pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan membuat penilaian lanjut terhadap kerosakan berlaku.

“Penilaian lanjut itu juga akan mendapat kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Seterusnya, JKR akan mengemukakan laporan penilaian berserta anggaran kos kepada KPM dan penyaluran peruntukan penyelenggaraan untuk tujuan membaiki kerosakan di bawah kecemasan akan disalurkan kepada JPWPKL serta JPNS dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas KPM, JPWPKL, JPNS serta PPD akan melaksanakan pembaikan selain pembersihan segera bagi membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) diteruskan tanpa sebarang gangguan.

Sebelum ini, beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor terjejas selain ada yang rosak selepas kejadian ribut melanda kawasan berkenaan pada petang Jumaat lalu.

Kerosakan berkenaan turut melibatkan sebuah rumah di Flat Perumahan Awam Loke Yew yang tercabut dinding susulan hujan lebat beserta ribut. – KOSMO! ONLINE


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo