NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

100,000 buat rayuan haji tahun ini

SEPANG: Hampir 100,000 orang mencuba nasib dengan membuat rayuan bagi mengerjakan ibadah haji pada musim kali ini.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, bagaimanapun, tidak ramai yang berjaya dalam permohonanan itu kerana jumlah yang menolak tawaran adalah kecil sekali gus kuota rasmi jemaah Malaysia sudah pun penuh diisi.

Beliau memaklumkan, setakat ini belum ada lagi pengumuman rasmi mengenai kuota tambahan untuk Malaysia dan mereka yang tidak terpilih boleh menunggu jika ada peluang berkenaan.

“Sebelum ini memang ada isu banyak kekosongan tempat apabila mereka yang mendapat tawaran menunda kepada tahun berikutnya atas pelbagai sebab seperti gagal melepasi pemeriksaan kesihatan ketat,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni kumpulan pertama seramai 284 orang yang berlepas ke Tanah Suci di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini awal hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan, bilangan tinggi membuat rayuan kali ini disebabkan kes tertunggak tiga tahun lalu ekoran pandemik Covid-19 yang mana pada musim haji tahun 2020 dan 2021, hanya ratusan warga Malaysia menetap di Arab Saudi berpeluang menunaikan ibadah fardu itu.

Sementara musim 2022, kuota rasmi negara ini dikurangkan kepada hanya 14,306 orang atau 45 peratus daripada sepatutnya, dengan jemaah berusia 65 tahun ke atas dilarang.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, lebih 30 peratus bakal jemaah dalam lingkungan umur 65 tahun ke atas tetapi berjaya melepasi proses saringan kesihatan termasuk disahkan tidak menghidap penyakit kronik.

Bagaimanapun pihak Tabung Haji bersiap siaga pelbagai kemungkinan seperti cabaran cuaca panas ekstrem kali ini dengan bersedia dengan Unit Kesihatan Awam dari Kementerian Kesihatan Malaysia yang akan menjalankan rondaan berkala ke atas jemaah terbabit untuk memantau mereka didapati kurang sihat.

Pada musim kali ini, sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan Tabung Haji yang melibatkan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines berbanding cuma 49 pada tahun lepas dengan pemerbangan pergi terakhir dijadualkan pada 21 Jun, manakala penerbangan balik pertama dijangka pada 6 Julai dan terakhir pada 2 Ogos kelak. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo