Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) didakwa melakukan 'sandiwara' apabila bertindak keluar Dewan Rakyat selama 15 minit selepas usul dikemukakan mengenai pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditolak Speaker.

Ketika pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2023 dibacakan Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong, Ahli Parlimen PN terbabit tiba-tiba bertindak memasuki semula dewan.

"Selamat pulang kembali barisan pembangkang yang baru masuk ke dewan," kata Steven.

Ia kemudian disambut sahutan daripada Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang mendakwa apa yang dilakukan blok pembangkang adalah sandiwara yang cukup hebat.

Selepas selesai pembentangan, RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian bangkit meluahkan ketidakpuasan hati dan mahu Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau Kiong melakukan sesuatu.

"Tindakan YB (Yang Berhormat) pembangkang sebelah sana membangkitkan isu pengeluaran KWSP dan selepas itu keluar dewan dan sekarang kembali ke dewan, adakah ia sesuatu dilakukan semata-mata satu sandiwara," katanya.

Bagaimanapun, Alice menegaskan tindakan ahli parlimen blok pembangkang keluar dewan adalah hak masing-masing.

"Itu hak mereka, sila duduk, cukup-cukup.

Sebelum ini, pembukaan sesi Dewan Rakyat pagi ini, kecoh selepas hampir semua Ahli Parlimen PN bertindak keluar dewan.

Tindakan itu dibuat selepas Dewan Rakyat menolak usul dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) untuk membincangkan mengenai pengeluaran wang KWSP secara bersasar.

Wan Ahmad Fayshal berkata, usul berkenaan perlu dibahaskan hari ini kerana persidangan Dewan Rakyat akan tamat esok, namun ditolak Alice kerana keputusan sudah dibuat Yang Dipertua, Datuk Johari Abdul.